
Majistret, Nor Asma Ahmad mengeluarkan perintah reman itu di Mahkamah Majistret di sini terhadap semua suspek yang sebelum ini direman 4 hari berakhir hari ini.
Semua 18 individu yang disambung reman itu berusia 16 hingga 25 tahun dan ada di antara mereka bekerja sebagai mekanik dan pengawal keselamatan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan mereka semua diwakili peguam Gerard Lazarus.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, semua suspek ditahan di sekitar Klang dalam operasi Cantas Khas, minggu lepas, sebaik sahaja rakaman video menunjukkan mereka menimbulkan kekecohan di luar sebuah sekolah menjadi tular di media sosial.
Fadzil berkata, video itu antara lain menunjukkan sekumpulan lelaki membawa sepanduk tertera angka 24 dan dalam kalangan mereka ada yang berpakaian lambang swastika berunsurkan kongsi gelap.
Terdahulu, berlaku sedikit kekecohan antara petugas media dan keluarga suspek di luar perkarangan mahkamah yang mana ada di antara mereka memarahi dan cuba menghalau petugas media daripada membuat liputan kes reman itu.