Tidak terlibat rundingan penyelesaian 1MDB, kata Johari

Tidak terlibat rundingan penyelesaian 1MDB, kata Johari

Menteri kewangan II berkata demikian ketika ditanya mengenai Rafizi Ramli yang bimbang AS$1.2 bilion wang rakyat akan digunakan untuk menanggung bayaran penyelesaian permulaan.

johari-1mdb
PETALING JAYA: Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata beliau tidak terlibat dalam rundingan penyelesaian antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (Ipic).

Malaysiakini melaporkan Johari berkata demikian ketika ditanya mengenai Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang bimbang sejumlah AS$1.2 bilion (RM5.28 bilion) wang rakyat akan digunakan untuk menanggung bayaran penyelesaian permulaan.

“Saya tidak terlibat dalam rundingan. Ia dilakukan oleh pengurusan dan lembaga 1MDB dengan pegawai Pejabat Perdana Menteri.

“Saya masih belum diberi taklimat mengenai keputusan akhir penyelesaian,” kata Johari menurut Malaysiakini.

Semalam akhbar Singapura Straits Times melaporkan Malaysia dan Abu Dhabi sudah mencapai suatu persetujuan tentang penyelesaian hutang separa untuk 1MDB, memetik pegawai eksekutif kewangan yang tidak dinamakan.

Di bawah perjanjian yang mungkin ditandatangani seawal Jumaat ini, Malaysia akan membayar AS$1.2 bilion kepada Abu Dhabi sebelum penghujung tahun, manakala AS$3.5 bilion (RM15.40 bilion) seterusnya akan dirundingkan.

Pendahuluan itu sebahagian daripada obligasi Malaysia di bawah terbitan bon AS$3.5 bilion yang Abu Dhabi bantu dapatkan pada 2012, menurut akhbar itu.

Menurut Straits Times lagi, bayaran penyelesaian AS$1.2 bilion itu melibatkan pembayaran semula pinjaman termasuk faedah terkumpul daripada “bailout” yang 1MDB terima daripada Ipic pada Julai 2015.

Sebahagian besarnya akan dibiayai penjualan “unit dana” daripada unit 1MDB, Brazen Sky, kepada pembeli yang tidak dinamakan, lapor akhbar itu lagi.

Rafizi dilaporkan menyoal adakah pembeli “unit dana” tersebut anak syarikat kerajaan.

Sementara itu, kedua negara bersetuju untuk berunding mengenai AS$3.5 bilion seterusnya agar suatu persetujuan dapat dimuktamadkan sebelum Disember 2020. Rundingan akan bermula awal tahun depan dan dalam tempoh tersebut kedua pihak tidak akan mengambil tindakan undang-undang, lapor Straits Times.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.