Pemuda PKR: Melayu hina kerana rasuah, bukan sistem kuota

Pemuda PKR: Melayu hina kerana rasuah, bukan sistem kuota

Dasar afirmatif sebenarnya dirangka berdasarkan semangat membantu rakyat yang memerlukan, kata Timbalan Ketua Pemuda Dr Afif Bahardin.

Dr-Afif-Bahardin-rasuah
PETALING JAYA: Pemuda PKR hari ini menolak anggapan sistem kuota sebagai satu “penghinaan” kepada kaum Melayu.

Timbalan Ketuanya, Dr Afif Bahardin berkata, dasar afirmatif dan sistem kuota sebenarnya dirangka berdasarkan semangat membantu rakyat yang memerlukan, terutama orang Melayu yang susah dan terpinggir demi memelihara persekutuan.

Sebaliknya menurut beliau, penghinaan sebenar kepada orang Melayu adalah apabila dasar afirmatif pengagihan ekonomi saksama diurus sehingga mengakibatkan pelaksanaannya tidak mencapai maksud yang dicita-citakan.

“Penghinaan yang sebenar apabila sistem kuota dan afirmatif ini digunakan sebagai alasan untuk menghalalkan beberapa amalan buruk parti pemerintah,” kata Afif, merujuk kepada rasuah berleluasa dan ketirisan parah yang melanda kerajaan.

Beliau juga menarik perhatian kepada penyalahgunaan kuasa dan kedudukan yang “mempergunakan sistem kuota untuk kepentingan peribadi dan kelompok.”

“Agenda Melayu yang jujur adalah agenda memartabatkan orang Melayu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan-rakan mereka yang lain,” kata Afif.

Beliau menjawab Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di wacana anak muda India Malaysia mengenai Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) di ibu negara 19 April lalu, yang mengatakan orang Melayu perlu melihat sistem kuota sebagai satu “penghinaan”.

“Seperti mana ada persepsi di kalangan masyarakat lain mengenai diskriminasi, kita (Melayu) juga merasakan mungkin kita tidak seberapa bagus, kerana masyarakat lain berkata, ‘kamu di sini kerana kuota’,” kata Khairy.

“Saya mahu masyarakat Melayu bertanding dalam gelanggang sama rata. Itu aspirasi saya,” tambah beliau.

Afif bagaimanapun melihat kenyataan itu sebagai “cetek”, “tidak tepat” dan “bermuka-muka”.

“Saya tegaskan mengangkat martabat orang Melayu terutamanya yang susah bukanlah satu penghinaan,” kata Afif.

“Khairy seharusnya lebih tegas dan berani tampil mempersoalkan tentang skandal 1MDB, Felda, Perda, Mara dan banyak lagi skandal rasuah serta penyelewengan melibatkan dana awam.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.