Pembangkang perlu cermin diri sebelum kritik Noh Omar, kata BN

Pembangkang perlu cermin diri sebelum kritik Noh Omar, kata BN

Penyelaras adun BN Selangor berkata, kerajaan negeri melebihkan wakil rakyat PKR, PAS, DAP dan Amanah, tetapi menganaktirikan kawasan dimenangi BN dengan memberi peruntukan jauh lebih kecil.

mat-nadzari-ahmad-dahlan-du
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini menempelak pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mempersoalkan tindakan Tan Sri Noh Omar membatalkan kelulusan projek kemudahan asas berskala kecil di peringkat majlis tempatan (BP1) di kawasan pembangkang.

Penyelaras Adun BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan meminta PH mencermin diri terlebih dahulu sebelum membuat kritikan terhadap tindakan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu.

Adun Batang Kali itu berkata, keputusan kerajaan pusat melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu bukannya perkara luar biasa dan tidak sepatutnya dipersoalkan parti lawan.

“Tiada isu besar, kita cuma dahulukan kawasan yang kita rasa perlu dahulukan dan yang perlukan lebih perhatian.

“Sebagai contoh di Selangor, kita buat pembangunan di kawasan BN, terutamanya kawasan yang tidak dipedulikan PH,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau mengambil contoh Selangor, kerajaan negeri di bawah pemerintahan PH menganaktirikan kawasan BN dengan memberi peruntukan jauh lebih kecil daripada kawasan dimenangi PKR, PAS, DAP dan Amanah.

“Kalau mereka persoal tindakan Noh itu tidak adil, kerajaan Selangor di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga tidak adil.

“Wakil rakyat BN hanya diberi RM200,000 sedangkan wakil rakyat mereka dapat RM600,000 hingga RM700,000. Jadi, kenapa perlu persoal tindakan KPKT?”

Nadzari mendakwa keadaan sama berlaku di Pulau Pinang, di mana kerajaan negeri tidak memberi sebarang kelebihan kepada kawasan BN.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Noh membatalkan semua kelulusan projek BP1, iaitu projek berskala kecil di peringkat majlis tempatan, di semua kawasan Parlimen yang gagal ditawan BN.

Susulan itu, beberapa ahli majlis Selangor membidas Noh tidak pro-rakyat, berniat jahat dan kebudak-budakan, susulan pembatalan semua kelulusan projek jenis BP1.

Semalam, Noh menjelaskan pihaknya hanya boleh memberi keutamaan kepada kawasan Parlimen BN disebabkan peruntukan dan sumber terhad.

Katanya, sejak tahun lalu, sumber yang diperolehi kementeriannya amat terhad dan langsung tidak mampu diagihkan ke semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian akan mengagihkan sumber itu ke kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai BN terlebih dahulu, sebelum sampai giliran kawasan pembangkang.

 

PKR: Potong gaji Noh Omar batal projek kemudahan asas

Ahli majlis Selangor bantah Noh Omar batal projek kemudahan asas

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.