PPBM nafi amalkan pilih kasih

PPBM nafi amalkan pilih kasih

Shahruddin menjawab dakwaan salah seorang anggota pengasas PPBM semalam yang kesal dengan sikap merebut jawatan oleh pemimpin parti.

shaharuddin
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini menafikan dakwaan seorang bekas pemimpin kanannya yang ia mengamalkan pilih kasih dalam perlantikan ketua-ketua penaja bahagian.

Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh berkata, perlantikan dibuat secara rundingan dengan pelbagai pihak yang terlibat dalam menggerakkan parti itu di peringkat akar umbi.

“Ini memandangkan terdapat ramai pihak yang berminat dan bersedia untuk menerajui pimpinan di peringkat bahagian PPBM di seluruh negara dan kata sepakat perlu dicapai sebelum perlantikan dibuat.

“Pucuk pimpinan PPBM telah sedaya upaya melakukan yang terbaik dalam pelantikan ketua-ketua penaja bahagian dengan mengambilkira faktor sumbangan seseorang calon yang hendak dilantik, pengalaman, bakat kepimpinan dan penerimaan oleh masyarakat setempat,” kata Shahruddin.

Semalam, Kamarulazman Habibur Rahman mengumumkan keluar parti sambil menyatakan kekesalan dengan amalan pilih kasih dalam perlantikan ketua penaja bahagian.

Kamarulazman merupakan antara pengkritik awal Datuk Seri Najib Razak di bawah Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) ketika Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berada dalam Umno.

Semalam, beliau berkata pemimpin PPBM lebih berminat dengan jawatan perdana menteri.

“Saya bimbang melihat bagaimana jawatan perdana menteri itu sangat penting bagi sesetengah pihak sedangkan saya lebih berminat membela nasib rakyat.

“Saya dapati bahawa sifat-sifat buruk mula dibenarkan masuk melalui pintu utama PPBM. Ramai di kalangan mereka yang menghabiskan masa untuk berasa bersama pemimpin dan lebih suka memburukkan penggerak yang membuat kerja.”

Shahruddin berkata Kamarulazman sendiri dilantik sebagai ketua penaja PPBM Teluk Kemang selepas rundingan.

“Pelantikan tersebut dibuat setelah pucuk pimpinan mengambilkira faktor sumbangan beliau kepada parti dan penerimaan oleh ahli-ahli parti. PPBM masih di peringkat penajaan dan pastinya memerlukan sedikit masa untuk mantap,” katanya.

Beliau turut mengesahkan keahlian parti Kamarulazman terlucut secara serta merta selepas pengisytiharan keluar parti semalam.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.