Pelakon Malaysia sembunyi dadah di dubur ditahan di Indonesia

Pelakon Malaysia sembunyi dadah di dubur ditahan di Indonesia

Pelakon berusia 38 tahun itu pernah didakwa beberapa kali berkaitan kes dadah di Malaysia sejak 2015.

syabu-hancuff
JAKARTA: Seorang pelakon lelaki negara ditahan polis Indonesia selepas disyaki membawa dadah ketika memasuki Kota Medan, Sumatera Utara melalui Lapangan Terbang Kualanamu, 18 April lepas.

Media dalam talian memetik Ketua Pengawasan dan Pelayanan Kastam dan Cukai Lapangan Terbang Kualanamu, Zaky Firmansayah sebagai berkata, pelakon itu ditahan 2 hari lepas setelah pihak berkuasa di lapangan terbang itu memeriksa badannya.

Beliau berkata, setelah membuat pemeriksaan di bahagian duburnya, mereka menemui 2 paket dadah sintetik yang dipercayai syabu seberat 14g.

Katanya, pelakon berusia 38 tahun itu mendakwa memasuki Kota Medan untuk menemui seorang rakannya yang bekerja sebagai juruhebah.

Sementara itu, Atase Polis Diraja Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Abu Bakar Yaacob ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan berkata, pelakon itu kini ditahan polis Medan bagi siasatan lanjut.

“Kami sudah menerima laporan mengenai tangkapan pelakon itu dan dimaklumkan mengenai penahanannya,” katanya.

Abu Bakar berkata, suspek ditahan 2 hari lepas pada jam 9.30 malam ketika tiba di lapangan terbang berkenaan dengan menaiki sebuah pesawat tambang murah dari Kuala Lumpur.

Pelakon itu pernah didakwa beberapa kali berkaitan kes dadah di Malaysia sejak 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.