
Dalam ucapannya semalam memperingati Othman 2 hari selepas kematiannya pada usia 93, Lee berkata Othman seperti pemimpin Melayu Singapura lain menerima pelbagai tekanan daripada Umno ketika Singapura masih menjadi sebahagian daripada Malaysia.
Menyorot kembali pilihan raya 1963, Lee berkata Umno melanggar perjanjiannya dengan PAP untuk tidak bertanding di Singapura, dengan meletakkan calon di kawasan majoriti Melayu.
“Pemimpin Melayu PAP menerima tekanan hebat dan berterusan untuk mengabaikan dasar kepelbagaian kaum dan mengutamakan bangsa daripada negara.
“Othman dan rakannya – Mahmud Awang, Rahim Ishak, Yaacob Mohamed, Mohamed Ariff Suradi, Rahmat Kenap, Buang Omar Junid – dihina, diugut dan dicaci. Mereka dipanggil ‘kafir’. Mereka menerima ancaman bunuh. Othman pernah mengingati bagaimana posternya dicomotkan najis.
“Pemimpin Umno menyampaikan ucapan mengapi-apikan perkauman dengan menyasarkan peribadi Lee (Kuan Yew) dan Othman dengan istilah paling jengkel,” kata Lee, yang turut memetik ucapan keras setiausaha agung Umno Syed Jaafar Albar dalam satu perarakan di kawasan diwakili Othman: “Kalau kita bersatu, tidak ada kuasa pun dapat memijak kita, tidak ada kuasa dapat menghina kita, tidak ada kuasa dapat memperkecilkan kita… bukan satu Lee Kuan Yew, malah seribu Lee Kuan Yew… kita habiskan mereka, bunuh dia, bunuh dia, Othman Wok dan Lee Kuan Yew.”
Tolak ‘ketuanan Melayu’
Othman, bekas wartawan Utusan Melayu, merupakan sekutu rapat Yusof Ishak, presiden pertama Singapura.
Beliau juga rapat dengan perdana menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, menjadi anggota kanan Kabinet pertama republik itu, dan menjawat menteri kebudayaan dan hal ehwal sosial antara 1963 dan 1977.
Beliau yang kerap diraikan pendukung kepelbagaian kaum juga merupakan antara yang menandatangani Perjanjian Perpisahan yang menyaksikan Singapura menjadi republik berasingan, 2 tahun selepas menyertai Malaysia.
Othman juga memainkan peranan penting dalam memperkenalkan undang-undang keluarga Islam di Singapura termasuk penubuhan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), mahkamah syariah dan Pendaftar Perkahwinan Islam.
Lee berkata walaupun menerima tekanan hebat, Othman tetap memilih dasar “Malaysian Malaysia” yang dibawa PAP.
“Apa yang dipertaruhkan adalah masyarakat apa yang kita mahu: berbilang kaum di mana semua kaum dilayan sama rata, atau sistem berdasarkan politik kaum dan kekuasaan sesuatu bangsa? ‘Malaysian Malaysia’ seperti yang diperjuangkan PAP ataupun ketuanan Melayu seperti diperjuangkan Umno di Kuala Lumpur?” kata Lee.
Beliau memetik ucapan bapanya Kuan Yew pada 1998: “Othman, Saya mengingati sokongan dan kesetiaan kamu pada waktu genting ketika kami masih sebahagian Malaysia…
“Pada masa itu, tekanan paling hebat datang daripada pelampau Melayu Umno yang menghina kamu dan pemimpin PAP Melayu, terutama kamu, sebagai kafir dan pengkhianat, bukan terhadap Singapura tetapi terhadap bangsa Melayu…
“Disebabkan keberanian dan kepemimpinan ditunjukkan kamu, tidak seorang pun pemimpin Melayu Singapura goyah (pada 1965).”