Sistem kuota hina orang Melayu, kata Khairy

Sistem kuota hina orang Melayu, kata Khairy

Kamu tidak mahu orang kata kamu berada di kedudukan sekarang hanya kerana ada sistem kuota, kata menteri belia dan sukan.

khairy-indian-malaysia2
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar percaya orang Melayu perlu melihat sistem kuota sebagai “penghinaan”.

“Kita perlu melihat (sistem) kuota ini suatu penghinaan, di mana kita perlu kuota untuk bergerak ke depan.

“Saya mahu supaya satu hari nanti, masyarakat Melayu boleh kata kita masuk universiti bukan pasal kuota,” katanya dalam wacana bersama anak muda India Malaysia mengenai Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Sebelum itu, seorang peserta berkata aspirasinya menjelang tahun 2050 ialah pemansuhan sistem kuota untuk Bumiputera.

Khairy berkata beliau selalu berpesan kepada anak muda Melayu, memberitahu mereka supaya memasuki universiti yang tidak mempunyai sistem kuota.

“Seperti mana ada persepsi di kalangan masyarakat lain mengenai diskriminasi, kita (Melayu) juga merasakan mungkin kita tidak seberapa bagus, kerana masyarakat lain berkata, ‘Kamu di sini kerana kuota.

“Saya mahu masyarakat Melayu bertanding dalam gelanggang sama rata. Itu aspirasi saya.”

Sesi dialog hari ini dianjurkan Pemuda MIC serta beberapa NGO belia India.

 

Turut berucap pada dialog itu ialah Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam.

Menurutnya, data terbaharu menunjukkan lebih 500,000 warga Malaysia akan hidup sehingga usia 90 tahun dan ke atas menjelang 2050.

“Kalau kita kekalkan umur persaraan pada usia 60 tahun, anak muda tidak mungkin dapat menanggung generasi tua.”

Beliau berkata purata jangka hayat selepas kemerdekaan 1957 antara usia 50 hingga 60 tahun.

“Oleh kerana itu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meletakkan takat umur pada usia 55 tahun dan umur persaraan sebelum ini juga pada usia 55 tahun.

“Bagaimanapun, bergerak ke depan, saya tidak rasa yang kita boleh berhenti bekerja pada usia 55 atau 60 tahun.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.