Pembangkang tidak akan puji kita, kata Zahid

Pembangkang tidak akan puji kita, kata Zahid

Pembangkang mempolitikkan pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menteri tugas-tugas Khas

zahidpic1
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi enggan mempedulikan sesetengah pihak termasuk pembangkang yang mempolitikkan pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menteri tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri.

Timbalan perdana menteri itu berkata beliau tidak hairan apabila pembangkang mengkritik setiap langkah kerajaan, termasuk pelantikan itu.

“Mereka tak pernah puji kerajaan, kenapa kita nak hairan, kita buat saja kerja kita dan jangan peduli mereka,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan syarahan Budaya Ilmu Kekuatan Negara di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat pelantikan mengejut itu dalam kenyataannya pada 12 April lalu.

Hari yang sama, Zahid menyatakan sokongan terhadap pelantikan itu dan berkata ia akan melicinkan lagi pentadbiran kerajaan.

Di sebalik kenyataan itu, beberapa pihak seperti pembangkang dan penganalisis politik menganggap ia tanda wujudnya pergeseran antara Najib dan Zahid.

Zahid berkata beliau akan terus menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas tanpa mempedulikan “cakap-cakap belakang”.

“Saya pernah dipertikaikan dulu tapi saya tidak peduli dan hanya jalankan tanggungjawab.

“Selagi tidak berdosa dengan Allah dan menyalahi undang-undang serta etika, saya teruskan walau apa pun kata orang,” katanya lagi.

Jawatan itu pernah diwujudkan pada era 1960-an dan awal 1970-an.

Ia pernah dikembalikan pada Jun 1998 – beberapa bulan sebelum bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dan dipegang Tun Daim Zainuddin.

Jangan layan adu domba pembangkang, kata Hishammuddin

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.