
Merujuk laporan polis dan dan perkataan menyakitkan hati dikeluarkan parti Islam itu dan pemimpinnya terhadap NYSP, bekas menteri itu menyuarakan rasa meluatnya di Twitter.
“PAS biadab, berniat jahat dan menyinggung perasaan orang lain selama bertahun-tahun. Adakah mereka meminta maaf? Adakah Hadi Awang memohon maaf kerana menggelar sesetengah daripada kita kafir,” tulis Zaid di Twitternya merujuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Pada 8 April lalu, akhbar berbahasa Cina itu dan portal beritanya menyiarkan sebuah kartun kontroversi bertajuk “Akta Drama Monyet” memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” manakala seekor lagi memakai serban dinamakan “Hadi Awang” bertenggek di sebatang pokok “Akta 355”, merujuk rang undang-undang persendirian Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
“Hadi Awang” dipaparkan dengan memegang sebatang tongkat sakti sambil mahu menikmati juadah “keledek panas”, manakala “speaker” melompat dari pokok itu, sambil berkata: “Simpan untuk hari kemudian”, sambil sekumpulan monyet bertekak di bawah pokok berkenaan.
Kartun itu merupakan gambaran sinis terhadap sesi Dewan Rakyat pada Khamis lalu, yang mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa wakil rakyat pembangkang selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin mulia menangguhkan sidang, bukannya memberi ruang untuk RUU itu dibahaskan.
Susulan kekecohan yang timbul selepas kartun itu dikongsi di sosial media, NYSP memohon maaf pada petang Isnin lalu dan akan menghantar surat rasmi permohonan maaf kepada Hadi dan Pandikar, selain akan mengeluarkan kartun itu daripada portal beritanya.
Bagaimanapun, 150 ahli PAS mengadakan protes di luar pejabat NYSP di Petaling Jaya, pagi semalam, mendesak lebih banyak tindakan diambil ke atas akhbar itu, termasuk menyeru Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan permit penerbitannya.
Susulan itu, KDN semalam memberi tempoh 3 hari kepada pengurusan NYSP menjawab surat tunjuk sebab.
Zaid berkata, parti Islam itu menjadi “pembuli” dan meminta rakyat Malaysia bangkit menentang mereka.
“Rakyat Malaysia perlu berhenti takut kepada pembuli. Hanya kerana mereka menggunakan label hijau, tidak bermakna mereka bukan pembuli,” tulisnya dalam satu lagi tweet berhubung isu itu.
Zaid yang menyertai DAP pada Februari lalu turut memuji Zunar kerana mempertahankan NYSP.
“Zunar satu-satunya orang yang nampak tiada sebab untuk Nanyang memohon maaf. Walaupun Nanyang tidak tahu mengapa mereka meminta maaf,” tulis Zaid dalam tweet merujuk kartunis politik popular atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque.
KDN beri Nanyang surat tunjuk sebab, panggil ketua pengarang