Nazri: Senang cerita, kita debat dalam dewan polis

Nazri: Senang cerita, kita debat dalam dewan polis

Menteri berkata demikian selepas debat yang sepatutnya diadakan di Shah Alam 7 April ini dibatalkan susulan laporan polis orang ramai dan ancaman pengacau.

nazri-mahathir-1
KUALA LUMPUR: Geram kerana debat yang sepatutnya diadakan di Shah Alam 7 April ini dibatalkan pihak berkuasa, Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mencadangkan acara diadakan di auditorium polis di Cheras.

Ini merupakan kali kedua debat beliau melawan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tergendala, selepas permohonan penganjuran debat di Kuala Kangsar ditolak polis kerana tidak menepati Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Saya sangat terkejut dilayan seperti ini dan saya tidak tahu apa sebabnya,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Nazri berkata demikian selepas polis membatalkan permit penganjuran yang diberikan kepada Kumpulan Media Karangkraf untuk acara debat di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, selepas risikan mendapati ada pihak tertentu merancang melakukan kekacauan.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata polis juga menerima 18 laporan daripada orang awam.

“Sebelum ini, 45 wacana sudah diadakan dan tidak ada masalah, tetapi apabila nak adakan debat dengan Dr Mahathir tidak dibenarkan pula,” kata Nazri, dan mempersoalkan adakah beliau kini sudah menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Beliau percaya debat dibatalkan bukan atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Polis yang keluarkan permit itu, ini hal polis. PM ucapkan terima kasih pada saya sebab sanggup adakan wacana dengan Dr Mahathir untuk mempertahankan dia,” katanya.

“Saya tidak fikir TPM punca kerana dia juga nyatakan sokongan.”

Auditorium Perdana Dewan Sultan Haji Ahmad Shah di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras boleh menampung 728 orang pada satu masa, dan mempunyai 2 aras untuk tetamu biasa dan individu penting. Berhawa dingin, ia dilengkapi alat audio visual, lampu pentas, paparan video, komputer berinternet dan teknologi sidang video.

Ia dihubungkan dengan Lebuhraya Cheras-Kajang dan berhampiran pangkalan pasukan gerakan am.

Sementara itu, calon moderator debat, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata pihaknya tidak menerima sebarang bantahan daripada penduduk mengenai debat Nazri-Dr Mahathir.

“Jika pihak berkuasa terlalu takut untuk adakan debat, lakukan sahaja di IPD, katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Tinjauan dilakukan FMT pada 2 April mendapati tiada rumah persendirian di sekitar kompleks. Perumahan di Seksyen 16, 18 dan 19 terletak 2 kilometer dari kompleks, yang terletak dalam kawasan perkilangan.

Polis batal permit, debat Mahathir-Nazri tak jadi

Buat debat di hotel sajalah, sindir menteri Umno

Polis: Permit debat dibatal selepas terima 18 bantahan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.