Debat di zon industri, alasan ‘penduduk bantah’ tak masuk akal

Debat di zon industri, alasan ‘penduduk bantah’ tak masuk akal

DAP, PPBM dan Amanah berkata polis tidak berhak menghalang debat yang tidak perlu permit.

Nazri-Mahathir
PETALING JAYA: Beberapa pemimpin Pakatan Harapan hari ini terus mempersoalkan tindakan polis menghalang debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz, dengan DAP menganggap alasan ia dibantah penduduk setempat tidak dapat diterima kerana ia dianjurkan di kawasan zon perindustrian.

“Menafikan permit untuk debat politik atau dialog tidak masuk akal untuk pelbagai sebab. Yang pertamanya, Karangkraf terletak di sebuah kawasan industri, iaitu jauh dari kawasan perumahan,” kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua.

Pua berkata polis tidak berhak untuk membatalkan mana-mana perhimpunan, sebaliknya bertanggungjawab memastikan sebarang program berjalan dengan aman seperti mana disebut di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Pada Sabtu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, polis menerima 18 laporan daripada orang awam di Selangor yang membantah debat yang dijadual diadakan di Kompleks Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam.

Debat Anwar-Shabery 2008

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata debat seumpama itu pernah diadakan di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Pada 2008, debat Anwar dan Shabery mengenai isu kenaikan harga minyak yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka disiarkan secara langsung.

“Saya percaya suasana yang sama akan dapat dilihat dalam debat antara Dr Mahathir dan Nazri jika ia dibenarkan berlangsung. Mereka yang hadir sudah tentu ingin mendengar hujjah kedua-pihak dan bukannya untuk menimbulkan huru-hara,” kata Muhyiddin dalam kenyataannya.

Muhyiddin berkata polis tidak berhak menghalang debat tersebut, yang pertama kali bakal menyaksikan seorang pemimpin tinggi Umno berbincang secara terbuka dengan pembangkang mengenai isu 1MDB.

Nazri sebelum ini turut mempersoalkan tindakan polis menghalang debat tersebut, yang sebelum ini dirancang diadakan di Kuala Kangsar.

“Saya tidak faham kenapa pihak polis menolak hak saya. Dia kata ada beberapa persatuan yang nyatakan mungkin tidak bersetuju. Sejak bila kita jadi negara polis?” soal ahli Parlimen Padang Rengas itu selepas pengumuman polis tidak membenarkan debat dijadualkan pada 25 Mac lepas.

Susulan itu, Karangkraf yang juga merupakan penerbit akhbar Sinar Harian menawarkan dewannya, yang kerap digunakan untuk pelbagai forum menampilkan kedua-dua pemimpin Barisan Nasional dan pembangkang.

Pua berkata Nazri yang merupakan seorang menteri kanan kini perlu membuktikan Malaysia bukan negara polis dengan berkeras meneruskan debat dengan bekas perdana menteri itu.

“Kegagalan berbuat demikian hanya mengesahkan… Malaysia kini sudah menjadi negara polis,” katanya.

Tambah Pua, tindakan polis itu menunjukkan “tanpa ragu-ragu” kebimbangan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak untuk melihat debat mengenai 1MDB.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata ahli ahli Umno sepatutnya merasa malu kerana hanya Nazri “memiliki kejantanan untuk berdepan dengan Dr Mahathir”.

“Malang yang ‘jantan’ seorang ini pun pihak polis diarah untuk menghalangnya untuk menyelamatkan kedudukan serta masa depan Najib,” kata Salahuddin.

 

Ini bukan negara polis, Nazri bertegas teruskan debat Dr M

Polis: Permit debat dibatal selepas terima 18 bantahan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.