Buat debat di hotel sajalah, sindir menteri Umno

Buat debat di hotel sajalah, sindir menteri Umno

Johari menyindir Dr Mahathir yang mempersendakan keputusan polis membatalkan permit kebenaran debat.

johari-mahathir-nazri-debat-1
KUALA LUMPUR: Susulan pembatalan program debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz semalam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyarankan debat itu diadakan di hotel.

“Buat sajalah di hotel, selesai masalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Komuniti Sihat Tanpa Asap Rokok di Kampung Pandan hari ini.

Menteri kewangan ke-2 itu membuat sindiran bagi menjawab kenyataan Dr Mahathir yang mempersendakan keputusan polis membatalkan permit kebenaran mengadakan debat yang sepatutnya diadakan di Kompleks Karangkraf, Shah Alam 7 April ini atas alasan menerima aduan daripada penduduk.

Terdahulu Dr Mahathir mempersendakan keputusan polis yang membatalkan permit kebenaran debat antara beliau dan Nazri atas alasan aduan daripada penduduk.

Dr Mahathir mendakwa keputusan pihak polis “kerana takut”.

Kata beliau, debat itu kononnya akan mencetus huru-hara, padahal kawasan tersebut tiada penduduk kerana ia kawasan kilang.

Susulan keputusan polis semalam, Sinar Harian mengumumkan pihaknya terpaksa membatalkan program itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, pembatalan dibuat selepas pihaknya menerima surat daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat, petang semalam.

Kelmarin, Hussamuddin mengumumkan pihaknya mendapat kebenaran untuk mengadakan program itu dengan beberapa syarat yang digariskan pihak polis.

Dalam surat dikeluarkan kelmarin, ketua polis daerah memberi keizinan dengan syarat memastikan peserta tidak melakukan apa-apa perbuatan atau membuat apa-apa penyataan yang akan mengganggu ketenteraman.

Mahathir dakwa polis batal permit debat kerana takut

Polis batal permit, debat Mahathir-Nazri tak jadi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.