Imam Singapura mohon maaf selepas doa kutuk Kristian, Yahudi

Imam Singapura mohon maaf selepas doa kutuk Kristian, Yahudi

Video imam Masjid Jamae Chulia, pada bulan lalu menjadi viral selepas membaca satu doa dalam bahasa Arab yang berkata antara lain, “Tuhan bantu kami menentang Yahudi dan Kristian”.

islam_imam_singapore_600
PETALING JAYA:
Seorang imam di Singapura yang membacakan doa mengandungi kata-kata kurang sensitif terhadap Yahudi dan penganut Kristian, baru-baru ini memohon maaf di depan beberapa pemimpin agama hari ini, lapor Berita Harian Singapura.

Imam Masjid Jamae Chulia, Nalla Mohamed Abdul Jameel Abdul Malik, 47, itu pada bulan lalu dilaporkan membaca satu doa dalam bahasa Arab yang berkata antara lain, “Tuhan bantu kami menentang Yahudi dan Kristian”.

Nalla yang berasal dari Tamil Nadu dalam temu bual bersama akhbar itu hari ini berkata beliau menyesali perbuatannya dan akui doa tambahan itu sebenarnya tidak diambil daripada ayat Al-Quran, tetapi teks lama yang berasal dari kampungnya di India.

“Perbuatan saya tidak sejajar dengan etos dan naluri negara muda namun amat hebat ini,” katanya dipetik daripada Berita Harian Singapura.

Beliau membuat permohonan maaf itu dalam satu majlis tertutup di hadapan beberapa pemimpin agama termasuk Kristian.

Katanya, beliau amat kesal kerana menyebabkan kesulitan, ketegangan dan trauma kepada negara itu.

Doanya yang dibuat selepas khutbah itu menjadi viral selepas video rakaman itu dimuat naik oleh Terence Nunis, seorang Muslim, hingga mencetuskan kekecohan dalam masyarakat Islam yang merasakan doa itu terkeluar daripada konteks Islam.

Menteri Dalam Negeri dan Undang-undang K. Shanmugam sebelum ini dipetik berkata di Parlimen, polis sedang menyiasat imam itu dan semua pihak terbabit termasuk individu yang merakamkan dan menyebarkan video berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.