
Beliau juga yakin peluang Amanah memenangi kerusi tersebut walaupun berdepan pertandingan 3 penjuru sekiranya melibatkan PAS.
“Kajian saya mendapati kalau berlaku 3 penjuru, Amanah berpeluang menang di kawasan yang kurang 65% pengundi Melayu.
“Saya telah analisa angka terbaru daripada daftar pemilih. Jika Amanah bertanding di kerusi-kerusi yang Pas juga masuk, kita boleh memang dalam 12 hingga 13 kerusi,” katanya dipetik portal pro-Amanah, Malaysia Dateline, hari ini.
Di Selangor, Amanah diwakili tiga ahli Parlimen yang memenangi kerusi mereka atas tiket PAS pada 2013, iaitu Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Hanipa Maidin (Sepang) dan Khalid Samad (Shah Alam).
Pada pilihan raya kecil Sungai Besar tahun lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi itu selepas pertandingan 3 penjuru melibatkan Amanah dan PAS. Calon Amanah bagaimanapun mendapat undi lebih tinggi daripada PAS, iaitu 7,609 berbanding 6,902 untuk PAS.
Izham mengakui partinya menghadapi kesukaran di kawasan yang mempunyai komposisi tinggi pengundi Melayu.
“Kena kerja lebih kuat lagi untuk menang. Lainlah, kalau satu lawan satu,” katanya.
Menurutnya, Amanah terbuka untuk berbincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sekiranya ia juga mahu bertanding di Tanjong Karang dan Sungai Besar.
Ini kerana komposisi pengundinya sesuai dengan profil PPBM.
PPBM, komponen terbaru dalam Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan PKR, DAP dan Amanah, sebelum ini berkata ia sudah pun memaklumkan kepada PH mengenai kerusi yang ingin ditandinginya pada pilihan raya umum akan datang.
Parti itu sebelum ini berkata ia yakin menang di kawasan majoriti Melayu.
Bagi Izham, kehadiran PPBM sebagai parti berteraskan Melayu memudahkan kebuntuan PH dan mendakwa ia memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya membatalkan hasrat mengumpulkan kekuatan pengundi Melayu bagi memberi kelebihan kepada Umno.
“Sebelum PPBM muncul, dia (SPR) nak kumpulkan banyak kawasan Melayu. Tapi Allah datangkan pula parti PPBM. Huru-hara persempadanan ini.”