
Oleh itu, bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin tidak hairan parti yang “begitu ghairah dan bersemangat tinggi” menyokong rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 tiba-tiba menukar arah.
“(Umno) tiba-tiba menonjolkan PAS kepada rakyat dalam keadaan bersendirian, dan sekali lagi, dalam keadaan tidak pasti sama ada ianya akan dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini,” katanya di blog hari ini.
Kenyataan itu menyusuli pengumuman Najib malam semalam, mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan usul Hadi kerana BN mengamalkan prinsip konsensus, selepas rancangan pindaan itu mendapat bantahan keras daripada komponen Barisan Nasional.
“Umno dari asal percaya kepada masyarakat berbilang kaum dan agama, tidak sehati dan sejiwa dengan PAS yang pendekatan dan dasarnya bersifat retorik, keras, perkauman dan melampau,” kata Zainuddin
“Maka itu percubaan untuk mengkhianati sesama sendiri terus berlaku disebalik tabir.”
Menurut Zainuddin, rancangan awal Umno untuk mengambil usul Hadi, meminda dan membentangkan ia sebagai usul kerajaan menunjukkan kecurigaan antara kedua parti.
Ia juga menunjukkan ketidakikhlasan Umno bekerjasama dengan PAS, yang beliau sifatkan sebagai tidak diyakini rakyat dan digeruni semua orang.
Sementara itu, ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia A Kadir Jasin berkata isu RUU 355 adalah “sarkas politik tahap maksimum”.
Katanya, yang menjadi mangsa kepada pertunjukan itu adalah orang Islam, terutamanya ahli PAS dan penyokong yang percaya Najib dan Hadi akan membentangkan usul itu.
“Mana menteri agama dan lebai-lebai Umno?” soal Kadir melalui blognya. “Atau RUU 355 sebenarnya dari awal hingga akhir adalah mainan politik Najib dan Hadi semata-mata.”