
“Jika kerajaan tidak mahu bentang, ahli Parlimen Marang (Hadi) akan bentang,” kata Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad.
“Cadangan pindaan itu lebih pun ada asalnya dibawa ke Dewan Rakyat sebagai RUU persendirian,” katanya kepada FMT.
Iskandar berkata walau apa pun, PAS sebagai parti Islam ada tanggungjawab untuk meneruskan usahanya memperkasakan kuasa hukuman mahkamah syariah dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).
Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak semalam mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan kerajaan tidak akan mengambil alih RUU Hadi, selaras dengan amalan konsensus gabungan itu.
“Rang undang-undang ini akan terus menjadi bil persendirian, dan terserah kepada Speaker (Dewan Rakyat) untuk menentukan,” kata Najib yang juga perdana menteri..
“Kalau Speaker memutuskan ia dibentangkan, maka ia akan dibentangkan. Speaker juga akan memutuskan peraturan berhubung RUU tersebut.”
Keputusan itu dibuat selepas 2 minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata BN akan membentangkan sendiri RUU 355 di sidang Dewan Rakyat kali ini demi memelihara kesucian agama Islam dan kedaulatan bangsa, walaupun jika ia berisiko kehilangan beberapa “kawan”.
Dipercayai “kawan” yang Zahid maksudkan ialah parti komponen BN seperti MIC, MCA dan Gerakan yang membantah cadangan pindaan itu.
Mengulas perkara itu, Iskandar berkata keputusan Najib itu membuktikan kedudukan Umno dalam BN dicabar.
“Ia juga menunjukkan sikap flip-flop Umno, dan bagaimana ia berada pada kedudukan terlemah sejak pembentukan BN,” katanya.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hasan dengan nada sama berkata tidak pernah timbul isu siapa yang akan bentangkan pindaan itu di Dewan Rakyat.
“Situasi sekarang ialah RUU Hadi kekal dalam format asalnya.
“Ahli Parlimen PAS sejak awal lagi meletakkan mod siap sedia berdepan kemungkinan ia dibahaskan di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nasrudin berkata objektif paling penting bagi PAS ialah Akta 355 perlu dipinda.
Sementara itu, beliau mempersoalkan mereka yang mendakwa keputusan BN membuktikan yang PAS “kena kencing”, atau dipermainkan Umno.
“Sekali lagi, musuh politik PAS cepat menyerang kami, berkata PAS jadi mangsa permainan Umno dan BN. Saya tidak tahu, yang mana satu betul?
“Jika PAS bentangkan (pindaan Akta 355), mereka akan kata ‘PAS ialah alat Umno dan BN, kenapa tidak BN sendiri bentang di Parlimen? Umno tak sokong RUU Hadi? Jadi BN patut bentang, bukan PAS’.”
Beliau berkata reaksi seumpama itu digambarkan dalam kalangan musuh PAS bila Zahid mengumumkan rancangan kerajaan untuk mengambil alih RUU Hadi.
“Nampaknya PAS kena kencing dengan Umno. Pada mereka (musuh PAS) tidak ada yang betul,” katanya.
Beliau yang juga ahli Parlimen Temerloh berkata walau apa pun pendirian PAS tidak akan berubah dan ia akan terus memperjuangkan pindaan itu.
RUU Hadi dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat pada Mei 2016. Pada November, Hadi dalam pindaan RUU itu mencadangkan hukuman di mahkamah syariah dinaikkan kepada 30 tahun penjara, denda hingga RM100,000 dan 100 sebatan.
Pada masa ini, hukuman jenayah syariah terhad pada 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 5 sebatan.
RUU itu menerima sokongan kuat daripada beberapa pemimpin tertinggi Umno termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal agama Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang turut serta dalam himpunan Akta 355 PAS bulan lalu.