Mahfuz selar partinya dan BN kerana gelojoh isu RUU 355

Mahfuz selar partinya dan BN kerana gelojoh isu RUU 355

Ahli Parlimen PAS itu berkata pembentangan RUU itu di Dewan Rakyat tidak akan berlaku kerana memerlukan kebenaran menteri.

mafuz
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar hari ini menyelar partinya dan Barisan Nasional (BN) kerana mengamalkan “politik gelojoh” sehingga gagal memastikan pembentangan rang undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Mahfuz berkata ia kerana keputusan Jawatankuasa Teknikal Pusat yang dianggotai wakil kerajaan pusat dan Kelantan, supaya RUU itu dibawa kerajaan dan bukan sebagai RUU persendirian PAS, tidak dipatuhi.

“Keadaan jadi celaru kerana tidak mengikut ‘roadmap’ yang dipersetujui Jawatankuasa Teknikal. Jika kerajaan persekutuan dan PAS sendiri mengikutinya, saya tidak fikir orang akan tolak.

“Tetapi isu ini dibawa dengan cara sehingga menimbulkan kekecohan dan pertelagahan. Kesilapan kerana kedua-dua pihak begitu gelojoh, politik gelojoh,” katanya di Parlimen hari ini.

Jawatankuasa Teknikal Pusat ditubuhkan pada 2014 bagi mengkaji pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah di Kelantan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 di Parlimen selaras dengan dasar dan amalan konsensus antara parti BN.

Ia bertentangan dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi 2 minggu lalu yang kerajaan sendiri akan membawa pindaan itu.

Mahfuz mempersoalkan pemimpin Umno yang sebelum ini dilihat menyokong RUU 355 tetapi gagal mempertahankan hasrat membentangkan RUU itu.

“Malah Datuk Seri Jamil Khir sendiri, yang menyampaikan salam perdana menteri kepada peserta himpunan di Padang Merbok, tidak boleh mempertahankan hasrat mengambil alih RUU itu untuk dibentangkan,” katanya.

Keputusan BN itu bermakna ia kini budi bicara Speaker Dewan Rakyat sama ada usul yang dibentangkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dibentangkan atau tidak.

Mahfuz berkata ia tidak akan berlaku memandangkan ia tetap memerlukan kebenaran menteri.

“Dalam hal berkaitan Islam, tentulah menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga agama. Jika menteri memberikan laluan, ia bercanggah dengan konsensus BN yang dicapai semalam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.