Dego Ride: Malaysia nak ikut Tokyo, bukan Jakarta, kata timbalan menteri

Dego Ride: Malaysia nak ikut Tokyo, bukan Jakarta, kata timbalan menteri

Tokyo dan New York memiliki sistem pengangkutan awam yang selamat seperti komuter, MRT, teksi, Uber dan Grab, bukannya Dego Ride.

Aziz_Kaprawi
KUALA LUMPUR:
Larangan Dego Ride bukan saja disebabkan faktor keselamatan, tetapi kerajaan ingin mencontohi kota besar di negara maju, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Katanya, kota besar seperti Tokyo dan New York memiliki sistem pengangkutan awam yang selamat seperti komuter, MRT, teksi, Uber dan Grab, bukannya khidmat teksi motosikal seperti kota besar negara jiran.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mansor Abd Rahman (BN-Sik) berkenaan keengganan kerajaan mencontohi Jakarta, Bangkok dan Manila yang mempunyai perkhidmatan seumpama itu.

Aziz berkata kota besar di negara jiran tidak boleh disamakan dengan keadaan di Malaysia kerana kerajaan sudah menjalankan transformasi pengangkutan awam.

“Kita mahu mencontohi sistem pengangkutan awam negara maju agar kota besar kita lebih nyaman, mesra alam sekitar dan canggih.

“Kita mahu setaraf dengan negara maju, bukan mengikut kota besar yang belum ditransformasi,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 12 Februari lalu, Kementerian Pengangkutan berkata akan mengambil tindakan tegas jika perkhidmatan Dego Ride tidak menghentikan operasinya serta-merta.

Aziz berkata faktor keselamatan juga penyebab larangan tersebut, dengan memetik statistik 2016 yang menunjukkan 62% daripada 7,152 kemalangan maut melibatkan pengguna motosikal.

“Penggunaan Dego Ride akan mengakibatkan lebih ramai pengguna jalan raya terdedah kepada risiko kemalangan maut dan cedera parah,” katanya.

Isu Dego Ride pernah dibangkitkan Datuk Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) yang bertanya mengapa kerajaan membenarkan Uber dan Grab, tetapi melarang Dego Ride.

Mujahid berkata perkhidmatan Dego Ride boleh mengurangkan kesesakan jalan raya serta peluang menambahkan pendapatan kepada rakyat.

Aziz berkata Uber dan Grab dibenarkan sebagai pilihan tambahan yang selamat kepada pengangkutan awam sedia ada.

“Pilihan pengangkutan awam sangat banyak, jadi kita tidak mahu ada lanjutan dengan perkhidmatan menggunakan motosikal,” katanya.

Dego Ride boleh bawa Mat Rempit ke pangkal jalan, kata Adun DAP

Putrajaya belum putus haramkan Dego Ride

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.