
Dalam kenyataan hari ini, kejayaan Dego di Kuala Lumpur bukti kementerian gagal menyediakan pengangkutan awam yang secukupnya untuk pengguna.
“Betul kenyataan Timbalan Menteri Datuk Ab Aziz Kaprawi, ketika menjawab soalan di Parlimen hari ini, yang mengatakan tiada motosikal teksi di negara dunia pertama, dan itu kerana negara dunia pertama mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik,” katanya.
Timbalan menteri pengangkutan sebelum ini mengatakan kota raya besar seperti New York dan Tokyo tidak mempunyai perkhidmatan motosikal teksi seperti Dego. Beliau juga berkata Malaysia “mahu setaraf dengan negara maju, bukan mengikut kota besar yang belum ditransformasi.”
Bagi mencapai matlamat itu, Rajiv berkata kerajaan perlu giat menambahbaik pengangkutan awam negara.
“Semua orang patut boleh berjalan tidak lebih dari 400m ke stesen kereta api atau hentian bas, keadaan yang tidak ada sekarang ini.
“Bas perlu lebih kerap, kerana pengguna tidak mahu menunggu lebih 15 minit, lebih-lebih lagi 30-60 minit untuk mendapatkan bas, seperti yang berlaku hari ini.”
Selain itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu menambah 3 kali ganda jumlah bas di Lembah Klang untuk mengangkat Kuala Lumpur menyamai jumlah bas per kapita di kota raya New York dan Tokyo.
Walaupun beberapa projek transit sudah diumumkan, Rajiv berkata ia belum mencukupi kerana semua projek Transit Aliran Massa “tidak mampu menampung walau sebahagian penduduk Lembah Klang”.
Beliau menambah Dego sudah berkhidmat kepada pengguna dengan baik dan tidak sepatutnya dihukum kerana kegagalan kementerian menyediakan rangkaian pengangkutan awam yang berfungsi.
Pada 12 Februari lalu, Kementerian Pengangkutan berkata akan mengambil tindakan tegas jika perkhidmatan Dego Ride tidak menghentikan operasinya serta-merta.
Aziz berkata faktor keselamatan juga penyebab larangan tersebut, dengan memetik statistik 2016 yang menunjukkan 62% daripada 7,152 kemalangan maut melibatkan pengguna motosikal.
“Penggunaan Dego Ride akan mengakibatkan lebih ramai pengguna jalan raya terdedah kepada risiko kemalangan maut dan cedera parah,” katanya.
Isu Dego Ride pernah dibangkitkan Datuk Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) yang bertanya mengapa kerajaan membenarkan Uber dan Grab, tetapi melarang Dego Ride.
Mujahid berkata perkhidmatan Dego Ride boleh mengurangkan kesesakan jalan raya serta peluang menambahkan pendapatan kepada rakyat.
Aziz berkata Uber dan Grab dibenarkan sebagai pilihan tambahan yang selamat kepada pengangkutan awam sedia ada.
“Pilihan pengangkutan awam sangat banyak, jadi kita tidak mahu ada lanjutan dengan perkhidmatan menggunakan motosikal,” katanya.