BN mahu tahu apa hukuman kepada pencemar imej negara

BN mahu tahu apa hukuman kepada pencemar imej negara

Dari 2010 hingga Februari tahun ini, 65 laporan difailkan terhadap pegawai kerajaan yang sengaja beri publisiti negatif terhadap pentadbiran negara

azalina-marcus
KUALA LUMPUR:
Seorang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bertanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adakah mereka yang mencemar imej Malaysia boleh dianggap pengkhianat.

Dr Makin @ Marcus Mojigoh (BN-Putatan) juga meminta kerajaan memberitahu tindakan yang pernah diambil terhadap mereka yang mencemar imej negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Azalina Othman Said, yang menjawab bagi pihak Najib, mengabaikan soalan pertama tetapi berkata dari 2010 hingga Februari tahun ini, 65 laporan difailkan terhadap pegawai kerajaan yang sengaja memberi publisiti negatif terhadap pentadbiran negara.

Beliau berkata daripada 65 pegawai kerajaan, 28 orang berdepan dengan pelbagai tindakan disiplin, termasuk penamatan tugas.

“37 individu yang lain pula sedang menjalani prosiding tatatertib atau sedang dalam siasatan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Awal bulan ini, Najib menyasarkan beberapa individu tertentu kerana mensabotaj ekonomi negara, mendakwa “tindakan kejam” mereka itu menjadikan rakyat sebagai mangsa.

Beliau menjelaskan bagaimana Malaysia hampir kehilangan pelaburan bernilai RM31 bilion daripada syarikat Saudi Aramco disebabkan sikap tidak patriotik sesetengah pihak yang memberi maklumat salah mengenai Malaysia kepada syarikat gergasi Arab Saudi itu.

Selain Najib, Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan juga menyalahkan pembangkang kerana menyebarkan pembohongan mengenai kerajaan.

Beliau berkata ini memudaratkan bukan sahaja kepada kepimpinan dan imej negara di peringkat antarabangsa, tetapi juga kepada kehidupan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.