Tragedi basikal: Wanita mengaku tak bersalah langgar 8 remaja

Tragedi basikal: Wanita mengaku tak bersalah langgar 8 remaja

Sam Ke Ting, 21, dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan lesen memandu digantung sehingga kesnya selesai.

sam-kee-ting-pic1
JOHOR BAHRU:
Seorang jurujual wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Trafik di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian 8 remaja lelaki pada 18 Februari lepas.

Sam Ke Ting, 21, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Salina Omar selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam di sini pada 3.20 pagi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 serta lesen memandu digantung, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan lesen memandu digantung sehingga kesnya selesai.

Mahkamah menetapkan 13 April sebagai tarikh pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Johor Roslan Mat Nor manakala tertuduh diwakili peguam Faizal Mokhtar dan Bustaman Menon.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta yang dipandu seorang wanita merempuh sekumpulan remaja yang sedang berbasikal di tepi jalan berkenaan.

Insiden itu menyebabkan 8 remaja iaitu Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhan, 16; Mohammad Azrie Danish Zulkefli, 14; Haizad Kasrin, 16; Muhammad Shahrul Nizam Maruddin, 14; Fauzan Halmijan, 13; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimee, 14; Mohamad Azhar Amir,16; dan Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14 maut.

Kejadian turut mencederakan 8 lagi remaja lelaki lain yang turut berbasikal di tempat kejadian.

Malang berbasikal tengah malam dekat kubur, 8 remaja maut

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.