PPBM akui tuntutan bertindih untuk kerusi Pakatan Harapan

PPBM akui tuntutan bertindih untuk kerusi Pakatan Harapan

PPBM berharap ia dapat menarik lebih banyak sokongan pengundi Melayu menerusi kerusi yang dituntutnya.

Pakatan-Harapan
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata ia sudah pun memaklumkan kepada Pakatan Harapan (PH) mengenai kerusi negeri dan Parlimen yang ingin ditandinginya pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun mengakui terdapat beberapa kerusi tersebut turut dituntut oleh parti lain dalam gabungan itu.

“Kami ada berunding, antara lain, mengenai agihan kerusi di mesyuarat PH yang diadakan di Parlimen semalam,” Muhyiddin memberitahu wartawan di ibu pejabat PPBM di sini.

Menurutnya, PPBM berharap dengan bertanding di kerusi yang dituntutnya dapat menarik sokongan pengundi Melayu dan Bumiputera.

Muhyiddin berkata, PPBM komited menyelesaikan masalah pertindihan kerusi dengan parti lain dalam PH.

“Matlamat kami elak pertandingan pelbagai penjuru. Kita perlu bertolak ansur,” tambahnya, tanpa menamakan kerusi yang dimahukan PPBM.

“Mana-mana pihak yang boleh menang, perlu diberikan peluang untuk bertanding. Ini akan diperhalusi oleh jawatankuasa teknikal PH.”

PPBM baru-baru ini secara rasmi mengumumkan penyertaannya dalam PH, menjadikan parti itu anggota ke-4 gabungan yang turut menghimpunkan PKR, DAP dan Amanah.

Muhyiddin berkata beliau tidak mahu mengulangi apa yang berlaku terhadap parti pembangkang ketika pilihan raya negeri Sarawak tahun lalu.

Pada pilihan raya itu, parti pembangkang seperti PAS, DAP dan PKR terlibat dalam pertandingan antara satu sama lain selepas gagal mencapai kata sepakat mengenai agihan kerusi.

Muhyiddin berkata pihaknya akan menghormati keputusan PH mengenai agihan kerusi.

Sementara itu, Muhyiddin berkata PPBM menangguhkan rundingannya dengan PAS sehingga selesai muktamar parti Islam itu bulan depan.

Susulan penyertaan PPBM ke dalam PH, PAS bakal memutuskan sama ada mahu mengadakan kerjasama dengannya pada pilihan raya akan datang.

 

PPBM kini ahli ke-4 Pakatan Harapan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.