Pembangkang gesa tubuh dana kurangkan kos ubat kanser

Pembangkang gesa tubuh dana kurangkan kos ubat kanser

Ambil model Dana Ubat Kanser United Kingdom yang membantu pesakit mendapatkan ubat mampu milik, kata Charles Santiago.

charles-santiago
KUALA LUMPUR: Pembangkang mencadangkan kerajaan menubuhkan dana ubat kanser kebangsaan untuk membantu pesakit yang dijerut kos rawatan yang tinggi.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mencadangkan kerajaan menubuhkan dana tersebut dengan permulaan RM5 juta untuk membantu isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah.

Beliau menambah peruntukan itu boleh disalurkan melalui pendanaan tahunan di bawah belanjawan persekutuan.

“Pada masa ini, pesakit kanser terpaksa mengeluarkan belanja ribuan ringgit untuk ubat-ubatan yang mahal.

“Ada yang terpaksa menjual rumah, barang kemas dan aset lain hanya untuk membeli ubat-ubatan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata ubat-ubatan untuk kanser tidak disubsidikan di hospital kerajaan dan pesakit terpaksa membayar kadar premium di farmasi.

Menurut Santiago, sekurang-kurangnya 100,000 rakyat menderita kanser pada bila-bila masa, dan jumlah itu dijangka meningkat 54% pada 2025.

Beliau memetik ahli akedami Universiti Malaya Dr Nimala Bhoopathy yang mengatakan kos rawatan kanser payu dara sekitar RM65,000 setahun.

Pada 27 Mac, Menteri Kewangan ke-2 Johari Abdul Ghani berkongsi kebimbangannya berdasarkan kepada pengalaman di kawasan Parlimen Titiwangsa.

“Beliau mengatakan mungkin ada keperluan untuk melibatkan semua syarikat insurans untuk menyediakan perlindungan berpatutan untuk menyokong pesakit kanser.”

Santiago mencadangkan kerajaan mengambil model projek Dana Ubat Kanser United Kingdom (CDF), yang membantu sekurang-kurangnya 95,000 pesakit kanser mendapatkan ubat-ubatan mampu milik sejak ditubuhkan 2011.

Projek di bawah Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) itu mengembangkan peruntukan tahunan kepada £340 juta (RM1.9 bilion) daripada £200 juta 6 tahun lalu, katanya.

Santiago berkata projek tersebut mengurangkan harga ubat-ubatan kerana syarikat farmaseutikal mengurangkan harga mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.