Mayat Jong Nam dijangka diterbangkan ke Macau hari ini

Mayat Jong Nam dijangka diterbangkan ke Macau hari ini

The Sun melaporkan, mayat Jong Nam terpaksa dikembalikan ke HKL sekitar 9.15 malam tadi, ekoran isu teknikal kargo kerana ia tidak boleh dimasukkan ke dalam pesawat.

jong-nam-macau
PETALING JAYA:
Mayat Kim Jong Nam yang dibunuh pada 13 Februari lalu, dijangka dihantar ke Macau hari ini, lapor Oriental Daily.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat yang dipetik akhbar itu mengesahkan mayat anak sulung bekas diktator Korea Utara, Kim Jong Il, sudah diserahkan kepada Kementerian Luar untuk proses seterusnya.

Sumber yang dipetik Oriental Daily berkata, mayat Jong Nam yang dikeluarkan dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di Hospital Kuala Lumpur, petang Ahad lalu, terus dihantar sebuah lokasi untuk kerja menutup keranda.

Semalam, mayat Jong Nam dihantar ke terminal kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menunggu aturan Kementerian Luar.

Akhbar itu memetik sumber sebagai berkata, mayat itu masih berada di terminal kargo KLIA sehingga jam 5.30 petang semalam.

Bagaimanapun, kira-kira jam 6 petang, berita mengenai mayat Jong Nam terpaksa dihantar ke HKL semula tersebar, akibat faktor keselamatan dan penghantaran.

The Sun melaporkan, mayat Jong Nam terpaksa dikembalikan ke HKL sekitar 9.15 malam tadi, ekoran isu teknikal kargo kerana ia tidak boleh dimasukkan ke dalam pesawat.

Tinjauan yang dilakukan Bernama kira-kira 9 malam tadi mendapati IPFN kembali dikawal ketat polis dengan pintu utamanya ditutup dan petugas media tidak dibenarkan memasuki perkarangan IPFN.

Jurugambar Bernama, Mohd Khairul Fikri Osman dipetik agensi berita itu berkata, kawalan ketat itu berlaku sejurus sebuah van putih yang membawa sebuah keranda memasuki perkarangan IPFN kira-kira 9 malam tadi.

Dipercayai Kementerian Luar berurusan dengan waris Jong Nam yang menetap di Macau bagi menguruskan mayatnya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang dipetik Oriental Daily mengesahkan mayat Jong Nam masih berada di Malaysia dan pihaknya sedang menunggu arahan lanjut daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar sebelum menentukan tindakan seterusnya.

“Pasukan forensik Kementerian Kesihatan akan memeriksa keadaan mayat Jong Nam bagi menentukan sama ada proses pengawetan perlu dilakukan sekali lagi.”

Beliau berkata, terpulang kepada KDN dan Kementerian Luar sama ada mayat itu akan dihantar hari ini.

Menurut laporan akhbar berbahasa Cina itu, difahamkan, mayat Jong Nam hanya boleh dihantar ke negara lain di bawah pengendalian Kementerian Luar.

Seluruh proses penghantaran mayat itu akan dirahsiakan demi melindungi wakil dan keluarga Jong Nam. Malaysia pula hanya akan mengumumkan perkara itu selepas mayatnya selamat tiba di Macau.

Dalam pada itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memberitahu Oriental Daily, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung mayat Jong Nam, hari ini.

“Kementerian Luar akan membuat pengumuman berkaitan perkara susulan mengenai mayat Jong Nam pada masa sesuai.”

Jong Nam meninggal dunia selepas didakwa diserang 2 wanita asing yang menekup mukanya dengan agen saraf VX, ketika beliau menunggu penerbangan ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, pada 13 Februari lalu.

Abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Polis masuk Kedutaan Korea Utara ambil keterangan suspek

Mayat Jong Nam sudah dituntut?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.