
Kelayakan Malaysia dalam PISA 2015 dibatalkan selepas kerajaan didapati hanya mendapat respon daripada 51% daripada sekolah yang layak, tidak melepasi kelayakan PISA iaitu 85%.
“Kami menjamin perkara ini tidak akan berlaku lagi…kita ambil maklum dan mohon maaf,” kata Timbalan Menteri Pendidikan 1 P Kamalanathan ketika ucapan penggulungannya di Dewan Rakyat hari ini.
Ketika perbahasan, beberapa ahli Parlimen pembangkang meminta kementerian menjelaskan “kesilapan teknikal” yang menyebabkan Malaysia buat kali pertama hilang kelayakan dalam senarai antarabangsa itu.
Sim Tze Zin (PKR-Bayan Baru) menyifatkan ia sebagai “memalukan” dan menggesa kerajaan berusaha keras memastikan ia tidak berulang.
Zairil Khir Johari (DAP-Bukit Bendera) pula meminta Kamalanathan memberi penjelasan yang lebih terperinci daripada alasan “masalah teknikal”.
Menjawab permintaan mereka, Kamalanathan akan memberikan penjelasan pada masa akan datang memandangkan sesi itu untuk membahaskan belanjawan tambahan kementeriannya.
“Saya boleh bagi penjelasan terperinci tetapi bukan di sini. Saya juga berharap penjelasan itu nanti dapat diterima…dan tidak dibangkitkan,” katanya.
Ketika keputusan PISA 2015 dikeluarkan, kerajaan mengumumkan Malaysia mencatat peningkatan prestasi berbanding edisi 2012 bagi kategori sains, matematik dan kemahiran membaca.
Namun keputusan itu dibatalkan tahun lalu selepas didapati data yang diberikan tidak memadai dan bilangan penyertaan sekolah yang rendah.
Beberapa pemimpin pembangkang, antaranya Ong Kian Ming (DAP-Serdang) bimbang kementerian cuba memanipulasi data dan saiz sampel yang digunakan untuk mendapat keputusan yang baik.
Dakwaan itu bagaimanapun ditepis Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani semalam. Menurut beliau, ia berpunca daripada kesilapan teknikal seperti data yang hilang dan tidak boleh digunakan.
“Saya setuju sebab (seperti) bilangan responden pelajar tidak mencukupi, masalah teknikal seperti data hilang dan data yang tidak boleh digunapakai (bad data) tidak boleh diterima pada masa akan datang.
“Kita patut belajar daripada kesilapan ini,” katanya.