
Ketua Komunikasi Serantau JobStreet, Simon Si berkata, syarikatnya masih menerima aduan mengenai graduan cerewet dan calon jahil ketika menghadiri temu duga.
“Ada yang tidak melakukan sebarang penyelidikan terhadap keperluan kerja dan latar belakang syarikat yang menawarkan kerja,” katanya sambil menambah ia antara aduan biasa diterima Jobstreet daripada syarikat yang menggunakan perkhidmatan mereka.
“Temu duga menjadi satu pembaziran masa apabila pencari kerja tidak tahu apa yang mereka mahu.”
Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2016 menganggarkan kadar pengangguran di kalangan graduan baru mencecah 10.7% pada 2015.
Menurut BNM, graduan baru mungkin calon terakhir diambil bekerja kerana mereka kurang pengalaman dan kemahiran komunikasi yang lemah.
Seorang graduan yang hanya dikenali sebagai Kimberly memberitahu FMT, beliau tidak mampu mendapat pekerjaan dengan gaji munasabah.
“Sesetengah majikan agak tidak realistik. Saya menolak beberapa tawaran kerja kerana gaji ditawarkan mereka terlalu rendah.”
Graduan yang mendapat ijazah pengurusan acara kira-kira 8 bulan lalu berkata, beliau menolak 1 kerja yang menawarkan gaji RM1,900 dan sedang menunggu kerja dengan gaji RM2,500. Pada masa sama, beliau bekerja bebas.
“Saya tinggal di Subang Jaya dan kerja itu ditawarkan sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Ia memakan belanja banyak untuk pergi ke tempat kerja dan selepas potongan KWSP, tinggal sedikit sahaja untuk saya bayar bil, apatah lagi untuk menabung.”
Kimberly pernah bekerja sepenuh masa dengan sebuah syarikat, tetapi hanya buat seketika. Beliau mengadu sesetengah majikan cenderung menawarkan lebih daripada apa yang mereka mampu.
“Beberapa syarikat berjanji tempat kerja atau pekerjaan dalam cara tertentu, tetapi sebaik sahaja anda mula bekerja, anda mendapati realiti tidak sepadan dengan apa yang mereka janjikan.”