
Timbalan menteri kesihatan itu berkata pada masa ini perkara itu sedang dikaji dan ia akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2018 khusus untuk Akta Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok.
“Menerusi akta sedia ada, kita berdepan pelbagai kekangan termasuk untuk menguatkuasakan larangan penjualan rokok kepada golongan muda.
“Antara cadangan dalam akta itu adalah tingkatkan larangan membeli dan menjual rokok pada umur 21 tahun dan bukan lagi 18 tahun,” katanya pada sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Hilmi berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai-PKR) yang mempersoalkan mengenai perbelanjaan bulanan rakyat Malaysia khusus untuk rokok dan kekuatan akta sedia ada.
Dr Hilmi berkata kandungan lain yang akan turut disertakan dalam akta baharu itu untuk mengawal kaedah pengiklanan rokok di tempat awam, khususnya di restoran dan pusat beli-belah.
“Kita juga sedang kaji untuk memasukkan dalam akta baharu itu, larangan untuk meletakkan rokok di belakang kaunter bayaran. Ia dilihat sebagai salah satu cara pengiklanan,” katanya.
Dr Hilmi turut mengakui kempen anti rokok yang dijalankan dari 2010 hingga 2015 hanya menyumbang kepada peningkatan kejayaan sekadar 0.6%.
“Memang kempen yang kita lakukan kurang berjaya, kerana sikit sangat. Beza 0.6% dalam masa 5 tahun. Amat rendah dan tidak signifikan,” katanya.