Sabotaj ekonomi umpama Yahudi, kata Asyraf Wajdi

Sabotaj ekonomi umpama Yahudi, kata Asyraf Wajdi

Timbalan menteri itu mahu hukuman dikenakan ke atas mereka yang dimaksudkan perdana menteri.

dusuki
PETALING JAYA:
Seorang timbalan menteri berkata dakwaan perdana menteri ada pihak cuba sabotaj ekonomi negara sehingga Malaysia hampir terlepas pelaburan berbilion ringgit dari Arab Saudi perlu diambil serius, sambil menyifatkan mereka yang terlibat mewarisi sifat Yahudi di Madinah satu ketika dulu.

Menulis dalam Utusan Malaysia semalam, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki membandingkan perbuatan menggambarkan ekonomi Malaysia lemah dengan apa yang dilakukan oleh puak Yahudi di Madinah ketika Nabi Muhammad cuba menubuhkan sebuah negara selepas peristiwa penghijrahan di era awal sejarah Islam.

“Moga-moga Allah memelihara kita semua daripada pengkhianat yang mewarisi sifat Yahudi Madinah yang cuba mensabotaj ekonomi negara tanpa mempedulikan kepentingan rakyat dan negara keseluruhannya,” kata Asyraf.

Beliau yang kerap bercakap isu berkenaan Islam bagi pihak Putrajaya mengulas dakwaan Datuk Seri Najib Razak minggu lalu, dan menambah ia perlu diambil serius dan mereka yang dimaksudkan perlu dihukum.

“Hakikatnya, Islam memandang tegas perlakuan pekhianatan seperti ini. Malah kerajaan boleh mengambil tindakan bersifat hukuman perundangan bagi mereka yang didapati bersalah dengan bukti yang sah atas perbuatan yang dianggap mencabuli maslahan ummah atau mencetuskan kemudaratan kepada negara,” kata Asyraf.

Antara lain, Najib membidas mereka yang menyebarkan “fitnah” mengenai keadaan ekonomi negara kerana mendakwa kerajaan bakal bankrap kerana tidak mampu membayar gaji perkhidmatan awam.

Menurut Najib, kesan daripada maklumat seperti itu, gergasi minyak Arab Saudi, Saudi Aramco hampir tidak mahu melibatkan diri dalam Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang, Johor.

“Mereka mencipta propaganda palsu – seperti idea negara ini hampir bankrap – yang sedihnya ada yang mendapat perhatian di peringkat antarabangsa,” katanya pada sebuah forum minggu lepas.

“Perjanjian Aramco itu hampir gagal dengan berita palsu berkenaan.”

Aramco dan Petronas bulan lalu dilaporkan memeterai perjanjian untuk projek Rapid, melibatkan pelaburan RM31 bilion daripada gergasi minyak itu.

Asyraf berkata sifat sabotaj ekonomi selaras dengan amaran Al-Quran mengenai “orang Yahudi dan Nasrani”.

“Yang jelas sifat dan perangai Yahudi ini sudah pun diberikan peringatan oleh Allah SWT dalam Al-Quran: ‘Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju dengan kamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menuruti agama mereka’ (Al-Baqarah: 120).

“Jelaslah kepada kita betapa pengkhianatan dan perlakuan sabotaj ekonomi bukanlah suatu yang baru. Malah sudah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW dan berterusan dalam sejarah jatuh bangun sesuatu tamadun bangsa dan kerajaan.”

Jangan bersekongkol dengan musuh Malaysia, kata Najib

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.