
Lim Guan Eng berkata alasan kejatuhan harga minyak menyebabkan ringgit melebihi RM4 berbanding dolar AS tidak berasas.
Ini kerana harga minyak sudah naik kepada AS$50 (RM220) setong daripada AS$30 (RM132), tetapi sedikit perubahan pada ringgit.
Guan Eng berkata mengikut logik kerajaan, ringgit hari ini sepatutnya lebih rendah daripada RM4 berbanding dolar, ketika harga minyak berlegar antara AS$50 dan AS$53 setong.
Kadar tukaran mata wang ketika ini RM4.42 berbanding dolar.
“Ekonomi kita dalam krisis,” kata Guan Eng pada sidang media di Komtar hari ini.
“Kali terakhir keadaan ini berlaku ketika krisis ekonomi dunia seperti isu Lehmann Brothers 2008 dan krisis kewangan Asia 1998.”
“Tetapi seluruh dunia tidak mengalami krisis ekonomi, hanya Malaysia mengalami krisis.”
Beliau berkata kenaikan inflasi berkaitan dengan harga minyak, minyak masak, gula dan komoditi lain.
“Kita semua tahu keadaan ini disebabkan 1MDB,” katanya.
Beliau berkata ekonomi negara akan lebih menderita apabila Bank Negara mengumumkan inflasi mencecah 4.5% bulan lalu.
Guan Eng percaya perkara ini boleh diselesaikan apabila Low Taek Jho, atau Jho Low, yang dikaitkan dalam laporan ke atas isu 1MDB, disiasat.
“Ada menteri mendakwa pembangkang mensabotaj ekonomi,” katanya. “Jika kita berkuasa sehingga begitu sekali, sudah tentu kita raih keuntungan daripada pasaran modal antarabangsa.”
“Ada menteri juga berkata tindakan patut diambil terhadap pensabotaj ekonomi. Siapa? Tidak lain tidak bukan Jho Low.
“Seluruh dunia sedang menyiasat Jho Low kecuali Malaysia? Mengapa kita tak panggil dia pulang dan selesaikan isu 1MDB?
“Apa yang payah sangat? Paksa dia pulang dengan membatalkan pasport,” kata Guan Eng.