Amanah: Kementerian jangan campur urusan luar sekolah

Amanah: Kementerian jangan campur urusan luar sekolah

Guru digesa memilih parti yang boleh menjamin kualiti pendidikan negara.

Dr_Siti_Mariah
PETALING JAYA:
Ketua Wanita Amanah Dr Siti Mariah Mahmud menyarankan Kementerian Pendidikan berhenti mencampuri urusan guru di luar waktu sekolah, sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha membaiki mutu pengajaran dan pembelajaran.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam, menasihatkan para guru yang berpolitik supaya tidak melanggar peraturan penjawat awam atau berhenti daripada perkhidmatan tersebut.

Bagi Ahli Parlimen Kota Raja, kenyataan Mahdzir tersirat ancaman dan ugutan supaya guru tidak terlibat dalam program parti pembangkang.

“Dia bersikap kolot dan jumud dengan menafikan hak guru untuk menyokong parti politik bukan kerajaan.

“Kerajaan juga semakin bersifat autokratik dan tidak terbuka untuk menerima kritikan daripada penjawat awam.

“Sikap kuno pemimpin seperti inilah yang menyebabkan negara masih gagal mencapai taraf negara maju pada 2020 sehingga terpaksa dianjak ke 2050,” kata Mariah dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyarankan menteri supaya mengutamakan siasatan ke atas prasarana pendidikan yang tidak sempurna di kawasan luar bandar, Sabah dan Sarawak, serta isu guru yang dibebankan dengan tugasan pentadbiran dan perkeranian.

“Waktu kerja mereka bukan lagi setakat waktu persekolahan, ada kalanya terpaksa dibawa pulang untuk diselesaikan sehingga larut malam.

“Guru juga diwajibkan menghadiri kursus yang tiada kaitan dengan profesion perguruan,” katanya.

Oleh itu, Mariah menggesa para guru supaya memilih parti yang boleh menjamin kualiti pendidikan negara.

Mahdzir di Twitter hari ini nafi membuat ugutan tetapi nasihat kepada para guru yang mengkritik kerajaan agar tidak keterlaluan sehingga terdapat unsur memfitnah kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.