Nazri: Saya tunggu PRU, lebih baik Mahathir lawan di Padang Rengas

Nazri: Saya tunggu PRU, lebih baik Mahathir lawan di Padang Rengas

Nazri mengalu-alukan hasrat pembangkang termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang mahu bertanding di kawasannya di Padang Rengas pada Pilihan Raya Umum ke-14.

nazri-mahathir-pru
PADANG RENGAS: Datuk Seri Nazri Aziz mengalu-alukan hasrat pembangkang termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mahu bertanding di kawasannya di Padang Rengas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, sesiapa pun boleh bersaing di kawasan tersebut termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata beliau, lebih baik Dr Mahathir yang dijadual berdebat dengan beliau awal bulan depan bertanding di Padang Rengas.

Nazri yang juga menteri pelancongan dan kebudayaan berkata, bekas exco kerajaan negeri Perak, Datuk Hamidah Osman telah menyatakan minat untuk bertanding di Padang Rengas.

“Saya kata sesiapa yang nak bertanding di sini bagus, lebih baik Tun Dr Mahathir bertanding di sini dan saya tunggu pilihan raya diadakan,” kata beliau dipetik Bernama.

Terdahulu beliau merasmikan serentak mesyuarat Cawangan-Cawangan Umno Bahagian Padang Rengas di Dewan Mellenium Lubuk Merbau di sini hari ini.

Bulan lalu kedua-dua pemimpin itu terlibat dalam pertikaman lidah mencabar masing-masing bertanding di Padang Rengas dan Langkawi. Ia berakhir dengan debat antara kedua-dua mereka.

Kata Nazri, Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi yang membolehkan sesiapa sahaja yang layak untuk bertanding dalam
mana-mana kawasan Parlimen.

Nazri berkata demikian sebagai mengulas ceramah Dr Mahathir, selaku Pengerusi PPBM dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi di Kota Lama Kiri, di sini yang mahu menjatuhkan Umno di Padang Rengas dalam PRU14.

Nazri mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana memilih beliau untuk bertanding di Padang Rengas sejak 22 tahun lalu.

“Saya pegang amanah Tun kerana dia kata Umno parti yang boleh jaga negara, 22 tahun saya jadi wakil rakyat di sini sedangkan yang tukar parti adalah Tun,” katanya.

Mengenai debat dengan Dr Mahathir, Nazri berkata, beliau akan hadir ke program itu pada 7 April depan di Shah Alam, Selangor sebagai usaha mempertahankan Umno.

“Saya tidak nampak apa halangannya untuk menganjurkan wacana ini kerana ia bukannya melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012,” ulang Nazri.

Debat antara kedua-dua pemimpin itu sebelum ini dijadual berlangsung semalam di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, namun dibatalkan kerana tidak mendapat permit polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.