DAP cabar Rahman Dahlan gesa Najib undur, bukan serang Kit Siang

DAP cabar Rahman Dahlan gesa Najib undur, bukan serang Kit Siang

Teresa Kok berkata, jika Rahman seorang yang berani, beliau harus meminta Najib berhenti menjadi perdana menteri dan bersara daripada politik berbanding menyasarkan Kit Siang.

teresa-kok
PETALING JAYA:
DAP mencabar Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Rahman Dahlan agar menggesa ketuanya Datuk Seri Najib Razak berundur dari jawatan perdana menteri dan terus bersara daripada mendesak Lim Kit Siang berbuat demikian.

Dalam satu kenyataan hari ini, Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata Rahman, menteri di Jabatan Perdana Menteri mengarut dan “apa yang diperkatakan oleh beliau tidak berasas.”

“Biar saya memberitahu Rahman beberapa fakta agar beliau tidak akan mengulangi kenyataan-kenyataan mengarut mengenai Kit Siang kononnya beliau seorang pemimpin yang terlalu lama (dalam politik),” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh.

Katanya, Kit Siang bukan lagi setiausaha agung DAP kerana beliau telah pun melepaskan jawatan itu pada 1999 dan kini hanya ketua ahli-ahli Parlimen DAP.

Selain itu kata beliau, Kit Siang seorang pemimpin yang popular kerana sering mendapat undi tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang diadakan setiap 3 tahun, malah penceramah parti yang paling banyak mendapat jemputan.

“Ini menunjukkan populariti beliau dalam kalangan akar umbi.”

Sehubungan itu beliau berkata, sekiranya Rahman seorang yang berani, beliau harus meminta Najib berhenti menjadi perdana menteri dan bersara daripada politik berbanding menyasarkan Kit Siang.

“Saya tidak perlu mengulas lanjut sebab mengapa Najib harus meletakkan jawatan kerana Rahman dan menteri-menteri Umno sudah tahu sebab mengapa Najib dianggap sebagai perdana menteri paling teruk oleh rakyat.”

Semalam, Rahman menasihatkan Kit Siang bersara dari politik kerana mendakwa ada kalangan ahli akar umbi DAP mahu melihat perubahan dalam pucuk pimpinan parti itu.

Beliau mendakwa DAP menghadapi masalah dalaman di mana ramai ahli tidak boleh menyuarakan rungutan mereka terhadap Kit Siang yang terus menerajui parti itu selepas 5 dekad.

“Saya percaya ramai pemimpin DAP tidak akan berani bercakap di luar dan akan berterima kasih kepada saya dan rakan-rakan dalam BN yang mengatakan sudah tiba masa untuk Lim Kit Siang bersara,” kata beliau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mendakwa ahli-ahli DAP di peringkat akar umbi mahu peralihan kuasa kepada seorang pemimpin lebih progresif dan bersifat sederhana berbanding pandangan terlalu “ekstrem” yang diperlihatkan oleh Kit Siang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.