Husni calon Bebas PRU14 hanya spekulasi, kata MB Perak

Husni calon Bebas PRU14 hanya spekulasi, kata MB Perak

Zambry berkata pembangkang cuba menangguk di air yang keruh dengan sengaja mengada-adakan cerita seperti itu.

Datuk-Seri-Dr-Zambry-Abd-Kadir
IPOH:
Desas-desus Ahli Parlimen Tambun yang juga bekas menteri kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bakal bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanyalah spekulasi semata-mata.

Menegaskan demikian, pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, isu berkenaan sengaja dibangkitkan pembangkang bertujuan untuk mengambil kesempatan di atas kedudukan Ahmad Husni yang tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kerajaan dan parti.

“Saya anggap golongan (pembangkang) cuba menangguk di air yang keruh dengan sengaja mengada-adakan cerita seperti itu…biasalah pembangkang.

“Tetapi, mengenali Datuk Seri Husni, ia tidak datang daripada mulut sumber, saya menganggap isu ini hanya spekulasi kerana saya tidak fikir dia akan berbuat demikian,” katanya.

Zambry yang juga menteri besar Perak bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan anggota jawatankuasa Umno Bahagian Tambun di sini hari ini.

Ahmad Husni meletak jawatan sebagai anggota Kabinet pada 27 Jun lepas sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan rombakan Kabinet.

Selepas itu, beliau juga meletakkan kesemua jawatannya dalam Umno di peringkat pusat, negeri dan bahagian dan hanya kekal sebagai Ahli Parlimen kawasan Tambun.

Jawatan Ketua Umno Bahagian Tambun kini dipangku oleh timbalannya Datuk Aminuddin Md Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta.

Dalam pada itu, Zambry yakin kerusi Parlimen Tambun terus kekal milik Barisan Nasional (BN) berdasarkan gerak kerja yang tersusun dan perpaduan kukuh di peringkat bahagian.

“Secara keseluruhannya, tidak ada masalah besar melibatkan Umno Bahagian Tambun dan saya difahamkan hubungan mereka dengan Ahli Parlimen itu juga berjalan seperti biasa dan tidak ada masalah.

“Saya yakin dengan kesepaduan yang ditunjukkan oleh anggota parti, kerusi Parlimen Tambun akan terus kekal menjadi milik BN dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.