Garam patut dikenakan cukai

Garam patut dikenakan cukai

Natrium klorida sepatutnya tidak diberikan status sifar GST untuk mengelakkan pengambilan garam berlebihan, kata kumpulan pengguna.

Darshan-Singh-Dhillon_garam
PETALING JAYA: Sudah sampai masanya garam juga dikenakan cukai, kata kumpulan pengguna yang bimbang dengan kemerosotan tahap kesihatan rakyat Malaysia.

Presiden Gerakan Pengguna Malaysia Darshan Singh Dhillon berkata persatuan itu menyokong sebarang langkah untuk memperkenalkan cukai terhadap garam.

“Mengenakan cukai terhadap garam mungkin bukan langkah popular tetapi ia pasti ada manfaat jangka panjang dan kami akan sokong tindakan itu,” katanya kepada FMT.

Darshan berkata kajian menunjukkan pengambilan garam berlebihan memberi kesan buruk terhadap kesihatan.

“Ramai rakyat Malaysia yang tidak menjaga kesihatan, dan ia menyebabkan kita menjadi negara gemuk.

“Ia juga menyebabkan kerajaan membelanjakan berbilion ringgit dalam penjagaan kesihatan untuk rakyat sedangkan wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk perkara lain yang lebih penting,” katanya.

Darshan berkata mereka yang terbabit dalam perniagaan makanan juga perlu memainkan peranan melindungi kesihatan pengguna.

“Industri makanan ada tanggungjawab sama untuk memastikan keselamatan dan kesihatan makanan,” katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam pada Jun lalu berkata kira-kira 6.1 juta rakyat Malaysia mengalami hipertensi dan 9.6 juta mempunyai paras kolesterol tinggi. Katanya, 3.3 juta rakyat Malaysia obes.

Tiga penyakit itu dikaitkan dengan pengambilan natrium klorida yang tinggi, atau dikenali sebagai garam.

Garam, bersama gula dan minyak masak ialah bahan asas yang tidak dikenakan GST.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata kerajaan perlu mengenakan “cukai dosa” terhadap makanan yang mengandungi garam tinggi untuk mengelak pengguna menggunakan terlalu banyak garam.

Pakar kesihatan mengesyorkan had ideal garam tidak lebih 1,500mg sehari untuk kebanyakan dewasa dan “1 sudu kecil garam saja sudah kira-kira 2,000mg garam”, kata jurucakap CAP.

Natrium juga banyak dalam makanan proses, itu sebabnya penting untuk membaca label makanan, ia turut didapati dalam makanan seperti keju, makanan laut, buah zaitun dan sesetengah kekacang.

Pada 2008, World Action on Salt and Health (WASH) di UK melancarkan gerakan global untuk meningkatkan kesihatan populasi dunia dengan mengurangkan pengambilan garam.

Kebanyakan individu mengambil 9 hingga 12g garam sehari, iaitu terlalu banyak. Kumpulan itu menyasarkan untuk mengurangkan kepada 5g garam setiap orang sehari.

WASH mengadakan minggu kesedaran garam pada 20 hingga 26 Mac setiap tahun untuk berkempen tentang pentingnya mengurangkan garam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.