Azmin cuba bergurau tapi tak kena tempat, kata pemimpin PAS

Azmin cuba bergurau tapi tak kena tempat, kata pemimpin PAS

Gurauan sensitif itu akan mengundang reaksi dan boleh buat orang lain 'terbakar', kata AJK PAS Pusat Muhammad Sanusi

sanusi-azmin
KUALA LUMPUR:
Seorang pemimpin PAS menyifatkan twit Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai “tok lebai” cuba menawan Selangor sebagai gurauan tetapi tidak  kena tempat.

“Saya ingat itu satu gurauan saja tetapi benda sensitif akan ada reaksi sehingga ada gurauan yang lain,” kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Muhammad Sanusi Md Nor.

“Bila isu tengah panas, kalau bergurau dalam suasana itu, orang lain ‘terbakar’ juga dengan dia,” katanya ketika ditemui FMT selepas forum anjuran media rasmi PAS di kedai buku Bazar Harakah hari ini.

Kelmarin, Azmin di Twitter menyentuh mengenai “tok lebai” yang berhasrat menawan Selangor, dipercayai merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz baru-baru ini.

Nik Abduh mengesahkan PAS mahu menawan Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, selepas video memaparkan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyasarkan Selangor sebagai salah satu daripada 5 negeri yang mereka mahu tular di media sosial.

Nik Abduh baru-baru ini tewas dalam pemilihan jawatan timbalan yang dipertua PAS Pengkalan Chepa, terpaksa berpuas hati dengan 37 undi berbanding lawannya, Izani Husin yang meraih 207 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.