Ibu bapa hanya tahu anak diculik 26 hari ketika baca surat khabar

Ibu bapa hanya tahu anak diculik 26 hari ketika baca surat khabar

Ibu bapa mangsa berkata, anak merahsiakan berita penculikan adik bongsu kerana tidak mahu mereka bimbang.

culik
PETALING JAYA:
Ibu bapa mangsa yang dilarikan dan dikurung selama 26 hari di Batam, Indonesia hanya mengetahui anak mereka diculik ketika membaca surat khabar semalam.

Difahamkan, mangsa mempunyai 3 abang dan seorang kakak yang tinggal di Kuala Lumpur serta Johor Bahru.

Ibu bapa wanita itu yang tinggal di Paloh, Johor dipetik Sin Chew Daily sebagai berkata, anak merahsiakan berita penculikan mangsa kerana tidak mahu mereka bimbang.

“Beberapa minggu lalu, ada individu seperti detektif berpakaian biasa datang ke rumah, tetapi disebabkan saya dan isteri tidak fasih berbahasa Melayu, jadi kami biar menantu sulung kami berurusan dengannya.

“Tetapi, selepas itu, menantu kami beritahu tiada apa-apa yang berlaku.”

Mereka berkata, sehingga kini mereka belum berjumpa dengan mangsa, tetapi anak bongsunya sudah menghubungi mereka untuk memaklumkan keadaannya semalam.

“Buat masa ini, anak bongsu kami tinggal dengan anaknya di Singapura, rumahnya di Kulai dikosongkan buat sementara.”

Suri rumah berusia 44 tahun yang dilarikan dan dikurung dalam sebuah rumah ladang di Batam selama 26 hari itu, berjaya diselamatkan polis 3 negara pada 19 Mac lalu. Keluarganya dilaporkan hanya mengetahui mangsa masih hidup apabila dihubungi penjenayah selepas 2 minggu diculik.

Polis turut menahan 12 suspek di Johor dan 6 lagi di Batam yang berusia 18 hingga 50-an.

Seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Arlando atau Wak Lan, 39, yang disyaki dalang utama kes penculikan itu turut ditahan di Plaza Tol Yong Peng, kira-kira 5.30 petang Isnin lalu dan polis .

Seorang lelaki warga Indonesia berusia 39 tahun dikenali sebagai Arlando atau Wak Lan disyaki dalang utama kes itu yang cuba melarikan diri dengan sebuah teksi, turut ditahan di Plaza Tol Yong Peng, kira-kira 5.30 petang Isnin lalu. Polis menemui sepucuk pistol semi automatik bersama 23 butir peluru kaliber 380.

Polis Indonesia dilaporkan berkata, mangsa dipaksa menghubungi suaminya dan meminta wang tebusan sebanyak S$5 juta (kira-kira RM15.83 juta).

“Penculik menghubungi suami mangsa sebanyak 14 kali dan akhirnya jumlah itu dikurangkan kepada S$3 juta (kira-kira RM9.5 juta).”

Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, salah seorang suspek ialah pembantu rumah mangsa yang disyaki menculik majikannya pada jam 3.30 pagi 21 Februari lalu.

Menurut ibu bapa mangsa, anak bongsu mereka ada membawa pembantu rumah yang disyaki terbabit dalam kes penculikan itu pulang ke rumah bagi meraikan Tahun Baru Cina, Januari lalu, dan mereka turut memberi angpau kepada suspek.

Mereka menyifatkan suspek sebagai pendiam dan lemah lembut.

Menurut mereka, mangsa amat rajin dan mula bekerja selepas menamatkan pendidikan di sekolah menengah dan tidak pernah meminta wang daripada mereka.

“Anak bongsu kami sebenarnya bekerja dengan agensi pekerjaan warga asing, dia tidak kaya seperti dakwaan orang luar, kami percaya penculik mungkin tersilap sasaran.”

Mereka mengucapkan terima kasih kepada polis Malaysia, Singapura dan Indonesia yang berjaya menyelamatkan mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.