‘Superman’ direman 4 hari hina Najib, Rosmah

‘Superman’ direman 4 hari hina Najib, Rosmah

Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Hew-Kuan-Yau
KULAI: Bekas ketua DAP Bahagian Teluk Intan, Hew Kuan Yau direman 4 hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi laman sosial.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan reman Hew bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dijalankan.

Sebelum itu, Hew, 46, yang turut dikenali dengan gelaran “Superman” tiba di Mahkamah Majisret di sini pada jam 8.20 pagi dengan memakai baju lokap berwarna ungu.

Dia ditemani peguamnya, Chan Kheng Fai serta beberapa ahli DAP, termasuk Adun Senai, Wong Shu Qi; Adun Johor Jaya, Liow Cai Tung; Adun Pengkalan Rinting, Cheo Yee How dan Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong.

Hew ditahan polis di bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang kira-kira 1 tengah hari semalam, susulan satu laporan polis yang dibuat ke atasnya di sini pada 16 Mac lalu.

Selain penangkapan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan Hew untuk membuat kenyataan berkenaan di Facebook.

Hew didakwa membuat kenyataan tersebut dengan memuat naik poster parodi filem animasi Walt Disney, “Beauty and the Beast” yang disertakan gambar Najib serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 13 Mac lalu.

 

‘Superman’ ditangkap selepas parodi filem Disney hina Najib, Rosmah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.