
Menteri pelancongan dan kebudayaan tidak dapat memenuhi gesaan Dr Mahathir yang menggesa isu halangan dari polis diselesaikan selewat-lewatnya 1.00 pm esok.
“Sinar Harian menghubungi saya, untuk bertanya boleh ke buat di Karangkraf, Shah Alam pada 29 Mac ini. Saya setuju dengan lokasi dan Dr Mahathir ada kata buat pada tarikh dan masa yang lain,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
“Cumanya, pada 29 Mac ini saya tidak dapat kerana mengikuti rombongan dengan perdana menteri ke India. Saya minta Sinar Harian adakah pada 7 April, sehari selepas Dewan Rakyat selesai bersidang, pada jam 9.30 malam.”
Untuk itu, Nazri juga meminta Karangkraf memaklumkan perkara ini kepada polis, selepas penganjuran debat di Dewan Maktab Rendah Sains Mara di Kuala Kangsar, Perak pada Sabtu ditolak kerana penganjur lewat menyerahkan permohonan.
Nazri sebelum ini menyahut cabaran pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk berdebat mengenai perkara yang memberi kesan kepada negara.
Dr Mahathir secara spesifik menyebut isu 1Malaysia Development Berhad dan skandal Bumiputera Malaysia Finance pada era-1980an.
Kepada pemberita Nazri sekali lagi menegaskan keperluan debat ini dilakukan.
“Saya cuba wujudkan budaya debat di dalam negara ini. Kenapa kita tidak boleh adakan debat yang berakhir dengan aman? Jangan jadikan ini sebab untuk bergaduh.”
“Saya percaya, setelah debat selesai, kita masih boleh minum kopi bersama,” katanya.
Kali ini, Nazri mempunyai permintaan tersendiri untuk debat ini.
“Saya minta Ahli Parlimen Shah Alam (Khalid Samad) menjadi moderator,” katanya. “Saya yakin dia mampu kendalikan perbahasan dan menjadi adil.”
“Saya mahu ahli politik jadi moderator. Kalau lantik ahli akademi pendekatannya berbeza…Jika saya minta wakil dari kerajaan, sudah tentu ia seolah-olah akan berikan tekanan.”
Sementara itu, Khalid apabila dihubungi FMT menyahut permintaan dari seteru politik beliau itu.
“Tidak tahulah dia mimpi apa ajak saya jadi moderator. Saya terima,” kata Khalid, yang juga menetapkan “syarat” tersendiri.
“Dia masuk ke Shah Alam, dia kena hormat Parlimen (Shah Alam),” katanya.
“Masalahnya cuma satu. Saya cuma kena kawal 1 perkara sahaja iaitu saya bimbang saya jadi ahli panel,” tambahnya dalam nada berseloroh.