Dr M tawar tempat lain untuk debat dengan Nazri

Dr M tawar tempat lain untuk debat dengan Nazri

Jika Nazri Aziz gagal mencari tempat sesuai, bekas perdana menteri itu menawarkan Shah Alam dan lokasi lain yang tidak memerlukan kebenaran polis untuk berdebat.

mahathir-nazri
PUTRAJAYA:
Tun Dr Mahathir Mohamad masih membuka pintu untuk berdebat dengan Datuk Seri Nazri Aziz mengenai skandal 1MDB dan Bumiputera Malaysia Finance (BMF), sekalipun polis menghalang acara itu diadakan Sabtu ini.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau sudah bersiap sedia dan akan meneruskan debat itu walaupun terpaksa mengubah lokasi dan tarikh.

“Kita boleh tawar untuk debat di Shah Alam atau tempat lain supaya ada debat di tempat yang tak perlu kebenaran polis,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Debat itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Kangsar, pada Sabtu ini.

Ia selepas Nazri menyahut cabaran Dr Mahathir untuk berdebat mengenai skandal 1MDB dan BMF yang berlaku pada era 1980-an di bawah pentadbiran pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu.

Bagaimanapun, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan hari ini berkata, permohonan penganjur tidak menepati Akta Perhimpunan Aman (APA), selain permohonan lewat dihantar serta Dewan MRSM tidak sesuai kerana ia kawasan sekolah dan melanggar APA.

“Pihak polis juga menerima bantahan secara bertulis, iaitu sebanyak 8 laporan daripada orang awam dan penduduk di sekitar kawasan perhimpunan akan diadakan yang bimbang dengan keselamatan diri serta keluarga,” kata Hasnan.

Pun begitu, Nazri bertegas akan meneruskan debat dengan Dr Mahathir.

Dr Mahathir mempersoalkan keputusan polis itu kerana acara itu ialah debat, bukannya perhimpunan jalanan.

“Saya ada perasaan ada orang takut sebab (debat ini) berkenaan orang itu dan dia berkuasa…Apa takut sangat nak debat? Kita dedah semua, kalau dia tak salah, apa nak takut. Kita negara demokratik, semua patut secara terbuka.”

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu memberi masa sehingga petang esok untuk Nazri membuat semua persediaan bagi memastikan debat itu akan diadakan.

“Kita bagi masa sehingga petang esok, kalau boleh bagi jaminan. Kalau jumpa seorang sahaja tak ada makna, macam sembunyi dari rakyat.

“Kalau tak boleh bagi, dia seorang nak pergi situ buat apa. Nak suruh saya pergi sama, saya tengok dia, dia tengok saya?” soalnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, kenyataan Nazri semalam yang menggesa ahli Umno dan penyokong Barisan Nasional (BN) tidak perlu menghadiri debat itu menunjukkan menteri pelancongan dan kebudayaan itu takut kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Hakikatnya ialah mereka tidak mahu orang Umno mendengar apa-apa mengenai 1MDB dan salah laku Najib. Jadi, dia cuba pastikan Umno tidak mendengarnya. Dia takut kepada bosnya dan takut didedahkan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.