
Kegagalan berbuat demikian bermakna pemilik pawagam melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi, kata peguam Foong Cheng Leong mengulas keputusan Lotus Five Star (LFS) memantau aktiviti penonton dalam dewan panggung pawagamnya di Kuala Terengganu.
Katanya, pemantauan itu adalah sah, tetapi pemilik perlu mendapatkan kebenaran penonton sebelum rakaman CCTV itu boleh disiarkan kepada umum.
“Selagi orang yang pergi ke pawagam tahu mereka akan dirakamkan dan rakaman itu akan disiarkan untuk tatapan umum, dan mereka bersetuju dengan membeli tiket, maka ia tidak menjadi masalah,” katanya kepada FMT.
Katanya, Akta Perlindungan Data Peribadi memerlukan notis privasi disiarkan bagi memaklumkan peminat filem bagaimana rakaman CCTV itu akan digunakan.
LFS memulakan operasi pawagamnya di Kuala Terengganu Sabtu lalu. Ia adalah pawagam pertama yang dibuka di daerah itu selepas lebih 20 tahun.
“Tempahan pada hujung minggu penuh untuk semua tayangan malam,” kata seorang jurucakap syarikat itu kepada FMT.
Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Projek LFS, Mohamad Shah Abdul Aziz yang dipetik Sin Chew Daily berkata, pawagam yang terletak di PB Central itu tidak melaksanakan pengasingan penonton lelaki dan wanita serta pemasangan lampu ketika tayangan filem.
Tetapi, katanya, setiap dewan panggung dilengkapi CCTV dengan gerak-geri penonton akan disiarkan di televisyen di lobi pawagam itu. Langkah itu bertujuan mengelakkan penonton berkelakuan tidak senonoh dalam keadaan gelap.