
Keputusan itu dicapai oleh majlis gabungan presiden, yang sebulat suara menerima permohonan PPBM untuk menjadi ahli pakatan.
Majlis itu juga bersetuju untuk pakatan itu didaftarkan secara rasmi.
“Sekretariat Pakatan Harapan akan menyerahkan surat kepada PPBM untuk memaklumkan mengenai perkara ini,” kata Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu menerusi satu kenyataan bersama.
“Mesyuarat itu bersetuju untuk mengadakan perbincangan serta-merta dalam kalangan 4 parti untuk menyediakan manifesto secara kolektif dan mencipta logo baharu,” katanya.
Pada 14 Mac, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan ahli parti itu secara sebulat suara bersetuju untuk membentuk sekutu dengan Pakatan.
Di bawah kertas cadangan itu, semua 3 parti dalam Pakatan dan PPBM akan menggunakan logo dan manifesto sama bagi mengelak pertembungan antara satu sama lain.