
Bagaimanapun, Azmin berkata keputusan sama ada PAS mahu menerima 2 usul daripada Permatang Pauh dan Bayan Baru semalam bergantung kepada pimpinan tertinggi parti Islam itu.
“Kita serahkan kepada kebijaksanaan parti PAS dan pemimpin PAS untuk menentukan. Bagi pihak PKR kita mahu semua parti yang progresif, yang ingin lakukan perubahan bersama-sama. Pendirian PKR tidak berubah,” katanya.
Semalam, Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan mendakwa PKR cuba menjejaskan kedudukan PAS dalam kalangan pengundi Melayu-Islam di kawasan itu menjelang pilihan raya umum.
Manakala Yang Dipertua PAS Bayan Baru, Iszuree Ibrahim pula menuduh PKR “tidak sedikit pun menghormati” PAS ketika menganggotai Pakatan Rakyat, di samping “secara terang-terangan mencampuri urusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang”.
Azmin berkata PKR tidak pernah memutuskan hubungan dengan mana-mana pihak.
Beliau berkata tetap mahu berusaha mengekalkan pertandingan 1 lawan 1 pada PRU akan datang, dan akan melihat apa akan berlaku semasa Muktamar Tahunan PAS ke-63 bulan depan.
Azmin yang juga menteri besar Selangor berkata PKR tidak ada masalah untuk bekerjsama dengan PAS di negeri itu.
“Kerjasama PAS di Selangor cukup mantap, kita ada Amanah, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“PAS Selangor juga keluarkan kenyataan, saya ingat beberapa kali mempertahankan agenda bersama, dasar bersama kerajaan negeri dan dalam sidang dewan mesyuarat exco, exco PAS mempertahankan dasar-dasar kerajaan negeri.
“Saya tak ada masalah, kamu boleh datang mesyuarat exco akan datang. Mereka selalu ada untuk sokong kerajaan negeri dan apa lagi kita jangka kepada mereka. PAS Selangor mempertahankan kerjasama ini yang telah wujud selama ini,” tegasnya.