Rafizi: Jika Ezam mahu lawan Najib biar sampai tempang

Rafizi: Jika Ezam mahu lawan Najib biar sampai tempang

Ezam Mohd Nor perlu tunjukkan beliau calon paling layak melawan presiden Umno itu di kubu kuatnya.

rafizi-ezam-2
SHAH ALAM:
Hanya calon yang mampu memberi kesan langsung ke atas kedudukan Datuk Seri Najib Razak paling layak untuk mencabar presiden Umno itu di kubu kuatnya di Pekan.

Mengulas cadangan bekas senator Datuk Ezam Mohd Nor yang ingin melawan Najib di situ, Rafizi berkata, Pakatan Harapan belum memilih calon untuk kawasan itu.

“Orang yang paling kuat melawan Najib dan berjaya melemahkan Najib, maka sudah tentu nanti dia dilihat sebagai orang paling layak,” kata Rafizi ketika ditemui pemberita di Konvensyen Warga Felda di sini hari ini.

“Kalau hasrat Ezam itu lawan Najib, dia kena jadi orang yang paling kuat pukul Najib sampai Najib tempang.”

Rafizi mengingatkan pemberita Pakatan Harapan memilih calon berdasarkan kepada keputusan bersama.

“Soal parti itu lebih akademik berbanding prestasi itu biarlah diadili oleh rakyat dan itu yang lebih penting sekarang,” katanya.

Jumaat lalu, Ezam mengesahkan pengumuman Khairuddin baru-baru ini mengenai rancangan penubuhan parti politik baharu dengan matlamat tunggal melawan rasuah.

Beliau berkata, parti akan ditubuhkan bersama “beberapa aktivis yang pernah dipenjarakan akibat melawan rasuah” dan akan menumpukan dua kawasan iaitu di kawasan Kementerian Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani dan kawasan diterajui Najib.

“Fokus kami ialah Kementerian Kewangan kerana di sinilah lubuk kejahatan dan salah guna kuasa. Saya sendiri akan mengetuai perjuangan ini dan berdepan dengan Najib di mana saja beliau bertanding,” kata Ezam.

Pada PRU13, Najib menewaskan calon PKR Mohd Fariz Musa dengan perbezaan undi 35,613.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.