1 lagi mayat tragedi lemas Bukit Beruntung ditemui

1 lagi mayat tragedi lemas Bukit Beruntung ditemui

Mayat yang belum dapat dipastikan identitinya itu ditemui kira-kira jam 11.15 pagi di tebing Sungai Selangor dalam jarak kira-kira 5 kilometer dari pusat operasi mencari di Kampung Timah.

mayat
PETALING JAYA:
Mayat seorang daripada 2 mangsa yang hilang dihanyutkan arus deras di anak Sungai Selangor, Bukit Beruntung, Jumaat lalu ditemui sebentar tadi.

Mayat yang belum dapat dipastikan identitinya itu ditemui kira-kira jam 11.15 pagi di tebing Sungai Selangor, kira-kira 5 kilometer dari pusat operasi mencari di Kampung Timah, Bukit Beruntung, lapor BH Online.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, waris kepada 2 mangsa kini berada di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk proses pengecaman.

Dua pelajar yang masih belum ditemui itu dikenal pasti sebagai Muhammad Ikhwan Mohd Ridwan, 10, dan Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12. Mereka hilang selepas dihanyutkan air deras bersama enam rakan. Lima mangsa ditemui lemas manakala seorang terselamat.

Lima mangsa yang meninggal dunia ialah pasangan adik-beradik, Shahrizat Abdullah, 12, dan Shahrizwan, 10; Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, Muhammad Iskandar Shah, 12, dan Muhammad Aiman Fitri Md Asmadi, 12.

Mereka yang sedang menangguk ikan di anak Sungai Selangor tidak sempat melarikan diri ketika air deras berpunca daripada kepala air melanda kawasan itu.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Bomba Kamil Hamadan berkata, operasi yang ditangguhkan pukul 7 malam tadi berikutan faktor cuaca disambung pada pukul 10 pagi ini.

“Operasi hari ini akan ditumpukan di kawasan mangsa mula dihanyutkan arus deras dan diperluaskan sehingga muara Sungai Selangor serta melibatkan 5 kilometer radius pencarian,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata operasi, yang masuk hari ketiga itu disertai oleh 97 anggota dan pegawai termasuk orang awam dengan menggunakan lima aset bot Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.