Peguam setuju lantik pendakwa khas pastikan siasatan bebas

Peguam setuju lantik pendakwa khas pastikan siasatan bebas

Syahredzan Johan berkata, pelantikan pendakwa raya khas itu mungkin boleh membetulkan persepsi kerajaan tidak serius menangani kes kematian dalam tahanan polis.

bar_jail_600
PETALING JAYA:
Pelantikan pendakwa raya khas tidak berkepentingan untuk mengendalikan kes kematian dalam tahanan polis boleh memastikan siasatan dijalankan secara bebas dan telus, kata peguam.

Syahredzan Johan berkata, pendakwa raya khas itu perlu dipilih daripada kalangan peguam bukan dari Jabatan Peguam Negara yang mempunyai reputasi sebagai peguam berintegriti serta tidak berkepentingan.

“Ia mungkin boleh membetulkan persepsi kerajaan tidak serius menangani isu ini. Ia juga boleh memastikan siasatan yang dilakukan bebas daripada tekanan dalaman, jika ada,” kata bekas ahli Majlis Peguam itu kepada FMT.

Beliau mengulas desakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pada Rabu lalu supaya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melantik pendakwa raya khas serta-merta untuk menguruskan kes kematian S Balamurugan dalam tahanan polis, bulan lalu.

Katanya, sebagai menteri dalam negeri, Zahid perlu bertanggungjawab terhadap kematian dalam tahanan polis.

Balamurugan, 44, yang ditahan pada 6 Februari lalu, dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman keesokannya dan peguamnya menerusi laporan polis mendakwa Balamurugan dalam keadaan lemah, tidak boleh berjalan, selain cedera di muka, berdarah dari hidung dan mulut serta muntah darah ketika di mahkamah.

Susulan itu, majistret menolak permohonan reman polis dan memerintahkan pegawai penyiasat membawa Balamurugan ke hospital dengan segera. Namun, peguamnya mendakwa Balamurugan tidak dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan dia meninggal dunia ketika ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, pada 8 Februari lalu.

Laporan bedah siasat ke-2 yang dijalankan Hospital Kuala Lumpur mengesahkan punca kematian Balamurugan akibat penyakit arteri koronari dengan pelbagai kecederaan akibat hentakan tumpul.

Seorang lagi peguam, Eric Paulsen mencadangkan peguam negara mengarahkan pendakwa raya paling kanan mengendalikan kes sedemikian serta memastikan siasatan dijalankan secara telus dan bebas.

“Ketika ini, mereka tidak memandang berat kes kematian dalam tahanan sebab ada beratus kes mati dalam penjara, lokap dan berapa banyak pendakwaan kita boleh kira,” kata pengarah eksekutif Lawyers For Liberty.

Pendakwa khas perlu dilantik siasat kes mati dalam lokap

Kenapa masih belum ada tangkapan kes Balamurugan, kata peguam

82 gambar bedah siasat bukti jelas punca kematian, kata peguam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.