‘Hahaha’, kata Bung Moktar mengenai parti baru Ezam dan Khairuddin

‘Hahaha’, kata Bung Moktar mengenai parti baru Ezam dan Khairuddin

Parti mereka tidak relevan kerana memerangi rasuah sudah menjadi misi nasional, kata ahli majlis tertinggi Umno.

bungmoktar
PETALING JAYA: Datuk Bung Moktar Radin geli hati apabila diminta mengulas mengenai hasrat 2 bekas ahli Umno mahu menubuhkan “parti bebas rasuah”.

Beliau mempertikaikan matlamat pelopornya, Datuk Ezam Mohd Nor dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan kerana memerangi rasuah sudah menjadi misi nasional.

“Hahaha… kelakar nampak. Cuma negara demokrasi seumpama ini,” kata ahli majlis tertinggi Umno itu ketika dihubungi FMT.

“Rasuah ada lah misi negara, jadi parti ini hanya khusus mencegah rasuah sudah pasti tidak relevan untuk satu perjuangan,” katanya kepada FMT.

Sejak Januari lepas, SPRM melakukan beberapa tangkapan berprofil tinggi dalam siasatan rasuah dan penyelewengan termasuk ketua setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Exco Johor.

Namun begitu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu menghormati hak mereka untuk menubuhkan parti.

“Mana-mana orang boleh menubuhkan apa juga parti mengikut selera masing masing. Apa yang penting rakyat faham apa yang mereka perjuangkan dan rakyat menerima perjuangan mereka,” katanya.

Ezam mengesahkan pengumuman Khairuddin baru-baru ini mengenai rancangan penubuhan parti politik baharu dengan matlamat tunggal melawan rasuah.

Beliau berkata parti itu akan ditubuhkan bersama “beberapa aktivis yang pernah dipenjarakan akibat melawan rasuah.”

Ezam sendiri pernah dijatuhi hukuman penjara 2 tahun pada 2002 selepas didapati bersalah memiliki dokumen rahsia rasmi kerajaan dan mengedarkannya kepada media pada 1999, untuk mendedahkan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh seorang menteri dan bekas ketua menteri.

Mula dikenali ketika era Reformasi pada akhir 1990-an, Ezam mewarnai politik negara dengan menganggotai beberapa parti politik, bermula dengan Umno, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Namun jodohnya dengan PPBM tidak lama, apabila keluar daripada parti itu Disember lalu, selepas 3 bulan menyertainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.