BN warta Machang wilayah Kesedar jika menang Kelantan

BN warta Machang wilayah Kesedar jika menang Kelantan

Perkara itu pernah dicadangkan kepada kerajaan negeri PAS tetapi ditolak, kata timbalan pengerusi Umno Kelantan.

Jazlan-Yaakub-kelantan
MACHANG: Jajahan Machang akan diwartakan sebagai sebahagian daripada wilayah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) jika Barisan Nasional (BN) diberi peluang memerintah Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata BN akan menjadikan perkara itu sebagai sebahagian daripada manifestonya pada PRU14 nanti.

“Yang penting mulai sekarang rakyat terutama pengundi Machang perlu memberi sokongan penuh jika mahu realiti itu dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rumah Bina Negara peringkat negeri di Kampung Lepan Kandis, Pulai Chondong di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Machang itu berkata BN Kelantan pernah menyarankan kepada kerajaan negeri pimpinan PAS untuk mewartakan Machang sebagai sebahagian daripada wilayah Kesedar, namun ditolak.

Beliau, yang juga timbalan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah berkata, banyak projek pembangunan yang berimpak tinggi akan dapat dilaksanakan di kawasan berkenaan jika Machang dimasukkan ke dalam wilayah KESEDAR.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata BN Kelantan juga berjanji akan membangunkan Tok Bali di Pasir Puteh sebagai pelabuhan perikanan termaju di Pantai Timur.

Selain itu, Tumpat akan dijadikan pintu masuk pelancongan utama dan kawasan Lojing di Gua Musang setanding dengan Cameron Highlands di Pahang.

“Tok Bali dan Tumpat berpotensi besar untuk dibangunkan kerana terdapat Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kedua-dua kawasan berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.