
Zaid yang pernah memegang portfolio undang-undang di Jabatan Perdana Menteri, berkata sebagai pengamal undang-undang, peguam seharusnya menghormati kebebasan individu dan tidak seharusnya memaksa orang lain mengikut kehendak sendiri.
“Saya agak terkejut apabila ia datangnya daripada seorang peguam kerana peguam seharusnya menghormati kebebasan individu, menghormati setiap kumpulan. Jadi kita patut hormat.
“Kalau Majlis Peguam itu caranya, kita hormatlah. Demokrasi itu kita kena terima, kalau orang buat biarlah, asalkan kita tidak dipaksa untuk membuat perkara berkenaan,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, peguam Mohd Amir Sharil Bahari Md Noor mencadangkan usul melarang arak, untuk dibahas di mesyuarat am tahunan Badan Peguam Malaysia.
Amir berkata, bajet untuk menganjurkan sesuatu acara meningkat sehingga 40% apabila arak dan minuman keras dihidangkan, selain ia membahayakan kesihatan.
Hasrat Amir turut disokong oleh Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang menyatakan penggunaan alkohol dalam acara badan peguam menyebabkan peguam Islam keberatan hadir.
Zaid berkata, usul-usul seperti ini dilihat sebagai cubaan menggunakan Islam untuk menutup kelemahan individu. Selain itu, usul yang dicadangkan itu dilihat sebagai bukan usul mustahak.
“Masalah sekarang ini banyak pihak yang hendak mengislamkan negara, bangsa kita. Saya cadangkan Islamkan diri dulu, kalau Islamkan diri dulu, barulah kita tidak sibuk,” katanya.
Zaid berharap usul yang dicadangkan Amir ditolak oleh setiap ahli Majlis Peguam.
Bukan berasas agama
Bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Kuthubul Zaman Bukhari berkata, usul dicadangkan itu tidak sesuai memandangkan badan itu tidak mengkhususkan kepada peguam Islam semata-mata.
“Sebenarnya majlis peguam ini bukan satu badan yang Islam, atau bukan Islam, ia bukan berasaskan agama, bangsa dan warna kulit.
“Majlis Peguam adalah satu badan induk yang bebas dan ia bertanggungjawab untuk menentukan pengiktirafan kepada peguam yang layak untuk mengamalkannya di Malaysia,” katanya.
Kuthubul menjelaskan, wang dari Majlis Peguam tidak digunakan untuk tujuan membeli minuman keras sebaliknya diperolehi melalui tajaan atau sumbangan individu tertentu.
Alkohol dihidangkan pada setiap acara Majlis Peguam peringkat negeri dan kebangsaan tetapi sesiapa mengambilnya perlu membayar sendiri dan tidak dikira sebagai sebahagian daripada kos acara tersebut.