
Yeo Bee Yin berkata apabila pegawai khas Datuk Rizal Mansor berkata kelayakan akademik membolehkan Rosmah menjadi penaung, adakah ia bermakna tidak ada dalam kalangan penjawat awam di kementerian berkenaan yang ada kelayakan akademik.
Katanya, jika tidak ada individu lain lebih layak daripada Rosmah untuk jawatan itu, maka ia penghinaan besar terhadap perkhidmatan awam di Malaysia.
“Untuk seseorang jadi penaung Permata, tidak perlukan sangat kelayakan akademik, tetapi yang penting ialah keyakinan masyarakat terhadapnya dan kredibiliti. Rosmah tidak ada ciri itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Rizal dalam mempertahankan Rosmah selepas DAP mempersoalkan kelayakan beliau menaungi Permata berkata isteri perdana menteri itu layak memegang jawatan itu kerana beliau lulusan Sarjana Muda Pengajian Sosiologi dan Antropologi dan juga pemegang Sarjana Bidang Sosiologi.
“Pastinya kepakaran beliau dalam bidang sosiologi itu sudah menggambarkan kemampuan Rosmah untuk membawa Permata ke arah kecemerlangan,” kata Rizal.
Yeo berkata sepatutnya tidak perlu timbul persoalan siapa yang selayaknya menjadi penaung Permata kerana tidak ada keperluan sesebuah agensi kerajaan mempunyai penaung.
Katanya, negara yang mempunyai sistem pendidikan awal kanak-kanak bertaraf dunia seperti Finland, Sweden dan Singapura juga tidak ada penaung bagi program pembangunan pendidikan itu.
Yeo dalam kenyataan medianya semalam mencadangkan program pembangunan pendidikan awal kanak-kanak diletakkan di bawah kementerian penuh seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah kerana ada peralatan lebih lengkap dan individu berpengalaman dalam bidang itu.
Adun DAP itu sebelum ini mendesak Permata mendedahkan akaun program itu, manakala Pakatan Harapan pula menuntut beberapa badan, termasuk Permata dimansuhkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Rosmah dalam satu majlis baru-baru ini menyeru orang ramai supaya tidak mempolitikkan program Permata dan jangan meragui program itu, termasuk sumber kewangannya.